WORLD #QURANHOUR DAN SOLUSI KEPADA CABARAN MASA KINI
Program World #QuranHour yang akan berlangsung seluruh Negara pada 30 Mei ini memang amat mulia dan sangat dianjurkan.
Pada tahun ini, Surah Al-Kahfi, surah ke 18 dari 114 surah telah dipilih untuk dibaca dan dikupas tentang isinya yang boleh dihubung kait dengan cabaran hari ini.
Surah ini mengandungi 110 ayat, yang juga bermaksud "Penghuni-penghuni Gua".
Penganjur mengharapkan dengan program ini, orang Islam menjadikan Al Quran sebagai panduan menghadapi zaman yang penuh cabaran.
Juga membentuk ummah yang berbudi dan penyayang dalam menangani serta melahirkan solusi terhadap empat cabaran sejagat iaitu keyakinan, harta, ilmu pengetahuan dan kekuasaan.
Apakah yang dibaca boleh difahami dan dijadikan sebagai pedoman, petunjuk dan rahmat kepada manusia?.
Cuba kita lihat penegasan Allah dalam Surah At Jatsiyah ayat 20 di bawah.
"Al Qur'an ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini".(At Jatsiyah:20)
Kitab Quran ini sebenarnya adalah pedoman atau panduan hidup kepada manusia di bumi. Supaya manusia tidak seperti orang gila semasa menjalani kehidupan.
Pernah tak kita melihat orang yang ke hulu ke hilir atau mundar mandir tanpa arah tujuan. Bila ditanya nak kemana, dia pun tak tahu arah tujuannya.
Ataupun pernah tak kita menjumpai orang yang sesat semasa mengembara dari satu point ke point lain akibat tidak menggunakan petunjuk.
Bagaimanakah kehidupan sesuatu kaum yang mendapat rahmat Allah kerana beramal dengan Al Quran?.
Persoalan seperti ini hanya boleh dijawab jika manusia benar-benar faham Al Quran itu sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan kepada petunjuk itu dan pembeda antara haq dan bathil.
Mengambil contoh buku panduan telefon bimbit dicetak dalam bahasa yang tidak difahami pasti tidak boleh memaksimakan fungsi telefon atau mudah rosak.
Mari kita kembali kepada bagaimana dengan membaca Surah Al Kahfi ini dapat membantu orang islam mencari solusi kepada empat cabaran masa kini iaitu keyakinan, harta, ilmu pengetahuan dan kekuasaan?
Secara ringkasnya Surah Al Kahfi menceritakan tentang kisah penghuni gua yang menyembunyikan diri dari penguasa yang zalim supaya akidah mereka terpelihara.
"Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu niscaya Tuhanmu akan melimpahkan sebagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna bagimu dalam urusan kamu". (Al Kahfi :16)
"Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu niscaya Tuhanmu akan melimpahkan sebagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna bagimu dalam urusan kamu". (Al Kahfi :16)
Dalam ayat di atas, dengan jelas Allah memerintahkan orang beriman mencari tempat perlindungan (dalam gua) jika tidak mahu bersekongkol dengan penguasa yang zalim lagi musyrik.
Di dalam tempat perlindungan itu Allah akan memberikan sebahagian dari ilmuNya sebagai persediaan menghadapi hari kiamat. Apakah agaknya yang mereka lakukan semasa berada di dalam gua tersebut?.
Bolehkah kita kaitkan dengan mencari perlindungan dari Allah semata-mata merupakan asas keimanan atau keyakinan kita kepadaNya?.
Sebenarnya ada banyak lagi cabaran tentang keimanan, seperti beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, Rasul, Hari kiamat (kebangkitan) serta Qada' dan Qadar.
Terdapat juga perselisihan tentang berapa lama penghuni gua berada di dalamnya. Ada yang mengatakan sehari atau setengah hari sahaja. Jadi salah seorang dari mereka telah keluar ke kota dengan membawa wang perak untuk membeli makanan.
Tujuannya adalah untuk melihat adakah wang perak itu masih laku digunakan atau tidak. Dari situ barulah mereka mengetahui anggaran berapa lama mereka telah berada di dalam gua tersebut.
Wang adalah sesuatu yang bernilai digunakan sebagai alat pertukaran untuk mendapatkan sesuatu. Jika hari ini dibuat perbandingan manakah yang lebih bernilai, wang ringgit atau ilmu?.
Dengan ilmu manusia boleh mendapatkan wang. Tanpa ilmu manusia seperti budak yang diperbudak-budakkan, ditindas dan dihina.
Oleh itu ilmu yang benar sangat penting dicari dan dijadikan pegangan hidup supaya kita hidup dalam kebenaran bukannya ditipu dengan keindahan sementara.
Selain itu jumlah penghuni gua juga menjadi pertanyaan, ada yang kata enam termasuk seekor anjing dan ada yang mengatakan 7 orang bersama seekor anjing. Tetapi yang pasti Allah mengatakan jumlahnya adalah sedikit.
Selain itu, surah ini juga menceritakan tentang contoh 2 pekebun anggur. Seorang mukmin (beriman) dan seorang lagi yang engkar (kafir). Allah telah melimpahkan rezeki kepada kedua-duanya atas usaha yang telah mereka dilakukan.
"dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika ia bercakap-cakap dengan dia: "Hartaku lebih banyak dari pada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat". (Al Kahfi:34)
Pekebun yang engkar menganggap yang kebunnya lebih hebat dan tidak akan musnah, tetapi akhirnya Allah musnahkan kebunnya akibat keangkuhan, kesombongan dan keingkarannya.
Jika dilihat pada ayat 34 di atas, ada dinyatakan tentang "pengikut-pengikutku lebih kuat". Apa kaitan seorang pekebun anggur dengan pengikut-pengikutnya?.
Bila disentuh tentang pengikut, ianya membincangkan tentang sistem kekuasaan iaitu antara pemimpin dengan orang yang dipimpinnya. Antara yang berkuasa dengan mereka yang tunduk di bawah kekuasaannya.
Sebahagian Surah Al Kahfi juga ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Musa semasa mencari ilmu dengan Nabi Khidir. Pertanyaan demi pertanyaan ketika Nabi Khidir melakukan pelbagai tindakan yang dilihat tidak wajar pada pemahaman Nabi Musa.
Kesabaran amat diperlukan dalam proses menuntut ilmu atau melakukan sesuatu pekerjaan. Contohnya sebelum dijelaskan tentang sesuatu keilmuan jangan dibuat atau ditanya dulu, lakukan secara berperingkat. Bila sampai waktunya barulah dikerjakan.
Program World #QuranHour ini diharapkan dapat menjadi medium kepada pembaca memahami, memikir dan menghuraikan apakah esensi (hal-hal pokok) dalam Al Quran yang dapat diaplikasikan pada kehidupan sebenar.
Dengan cara ini barulah Al Quran benar-benar menjadi pedoman dan petunjuk serta solusi kepada masalah tatanan sosial kehidupan manusia hari ini.
Hari ini manusia masih tercari-cari jalan manakah yang boleh membawa mereka kepada kebenaran. Mereka melihat Al Quran adalah solusi kepada masalah itu, tetapi sehingga kini masih samar-samar kerana tiada bukti.
Usaha murni dari pelbagai pihak dan individu yang mempunyai kesedaran tentang kepentingan berAl Quran ini amat diperlukan dalam menyebar luas misi merealisasikan ideologi Allah di muka bumi.
**Gambar Ihsan Google
Comments
Post a Comment