DARI SUDUT PANDANGAN SAYA
DARI SUDUT PANDANGAN SAYA.
Saya suka membaca tulisan Faisal Tehrani di freemalaysiatoday.com yang berjudul 'Bossku penyakit latah politik Melayu.
Ulasan ilmiah beliau yang menarik dan kritis dengan memberikan contoh bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos yang pernah menggunakan strategi ini kepada penyokong tegar beliau.
Walaupun saya bukan pemerhati politik tetapi berdasarkan perkembangan terkini, budaya latah politik ini telah mula menular di kalangan pengamal politik berkepentingan.
Kata-kata 'Malu apa bossku' sering didendangkan di media sosial sehinggakan kanak-kanak yang tidak memahaminya turut mengucapkannya tanpa segan silu.
Definisi 'Malu apa bossku' hendaklah dijelaskan dengan betul mengikut kondisi yang sesuai dengan pengucapannya.
Malu kenalah ada dan bertempat.
Budaya malu dikalangan orang Melayu khususnya amat menebal suatu ketika dulu tetapi semakin terkikis mengikut perubahan zaman.
Saya sebagai boss, malu jika syarikat saya gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Tetapi lebih malu jika amalan-amalan yang tidak baik berlaku di dalam syarikat seperti amalan rasuah.
Kenapa budaya 'Bossku' atau 'Malu apa bossku' ini mula menular.?
Pada pandangan saya tahap pemikiran majoriti sesebuah komuniti yang mudah dieksploitasi oleh golongan berkepentingan telah menyumbang kepada budaya ini.
Budaya mengikut dan membuat sesuatu tanpa ilmu adalah seperti barah.
Tidak nampak pada peringkat permulaan tetapi jika tidak dirawat akan merosakkan organ-organ yang lain di dalam badan.
Bila sudah sampai ke tahap 4, tidak banyak perkara yang boleh dibuat selain menunggu mati.
Dari latah politik akan merebak menjadi latah sosio budaya, kemudian menjadi latah ekonomi pula.
Jika tiada langkah pengawalan segera diambil akan membahayakan individu, komuniti dan negara.
Memberikan kesedaran tentang pentingnya nilai-nilai yang baik boleh mula diterapkan di sekolah. Setiap lapisan masyarakat memainkan peranan masing-masing.
Media berperanan memberikan kesedaran agar jangan membabi buta dalam menyokong atau mengikut sesuatu budaya yang tidak baik.
Nilai-nilai teras yang baik yang ditanam sejak awal boleh mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang sejahtera.
Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2019/03/07/bossku-penyakit-latah-politik-melayu/
Comments
Post a Comment