KASIHNYA IBU.


Dilahirkan di Muar pada tanggal 28 Januari 1942 di zaman Jepun sedang meluaskan penjajahannya di Asia Tenggara.

Beliau adalah ibu kepada 7 orang anak, 3 lelaki dan 4 perempuan. Seorang yang rajin bekerja dalam membantu membesarkan dan memberikan pendidikan kepada anak-anak.

Saya sangat menyayangi dan menghargai beliau kerana kegigihan dan kesabaran beliau melayani kerenah anak-anak dan cucu cicit walaupun sudah berusia 77 tahun.

Minggu lepas, ibu saya bertanya kepada adik saya, adakah saya berada di Indonesia kerana waktu tersebut sedang berlaku gempa bumi di Lombok.

Kerisauan ibu saya memang ada asasnya kerana kerjaya saya yang sering ke luar negara, mungkin padanya pada waktu itu saya berada di negara tersebut.

Hubungan saya dengan ibu tidaklah seberapa rapat berbanding dengan kakak dan adik perempuan saya kerana waktu persekolahan saya kebanyakkan berada di asrama.

Pada usia 7 tahun saya telah tinggal bersama saudara kerana jarak sekolah yang jauh dari rumah.

Pada usia 13 tahun, saya bersekolah di Merlimau Melaka dan menetap di asrama selama beberapa tahun.

Begitu juga pada waktu saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya selama 4 tahun.

Sewaktu melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan, keluarga saya membiayai keseluruhan pengajian kerana saya tidak berjaya mendapat biasiswa atau dermasiswa.

Walaupun saya selalu berjauhan dengan beliau tetapi ibu tidak membezakan kasih sayangnya kepada saya berbanding adik- adik saya yang menetap bersamanya.

Ingat lagi saya semasa saya menghadapi masalah di universiti dan tinggal lama di kampung, beliau bertanya kenapa saya berada lama di kampung,

Walaupun saya tidak memberikan sebab kenapa beliau tetap memberikan kata-kata semangat supaya saya meneruskan pengajian.

Dan yang paling terkesan kepada saya adalah apabila saya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja sebagai seorang pendidik pada tahun 1996.

Beliau bertanya kenapa saya ingin berhenti sebagai guru sedangkan kerjaya guru telah terjamin, ada pencen nanti bila bersara katanya.

Tidak ada seorang ibu yang mahu anaknya susah.

Selepas mendengar penjelasan dari saya dan menyakinkan beliau barulah ibu saya dapat menerima kenyataan yang saya ingin berhenti sebagai seorang guru.

Kisah saya berhenti sebagai guru akan saya tulis di lain penulisan, tunggu ya.

Sekarang ini, apabila mempunyai kelapangan waktu saya akan pulang ke kampung untuk menziarahi ibu. Beliau masih lagi bertanya bagaimana keadaan keluarga saya dan menyokong kerjaya saya.

Dalam keadaan kesihatan ibu saya sekarang ini, beliau mengharapkan anak-anak dapat menziarahi beliau sekali sekala semasa hayatnya.

Untuk adik-adik baliklah ke kampung untuk menziarahi ibu semasa ibu masih boleh mengenali kita.

Kepada anak saudara, cucu cicit atuk tipah cuti sekolah akan datang ni baliklah ke kampung, selain jumpa atuk tipah boleh makan buah durian.

Saya berharap saya masih lagi diberi peluang untuk berjumpa dan berjasa kepada mereka. Besar sungguh jasa beliau kepada saya dan adik beradik.

**Gambar ibubapa saya bersama cicit Muhammad Razin Iman.

Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

BUFFET RAMADHAN DI HOTEL, GAYA BARU MASYARAKAT KOTA