PEMBUDAYAAN ILMU YANG BENAR
PEMBUDAYAAN ILMU YANG BENAR
Pembudayaan mencari, menerima dan berbahagi ilmu yang benar berdasarkan fakta dan kajian hendaklah mula diterapkan kepada semua peringkat.
Walaupun proses ini akan mengambil masa tetapi perlu dimulakan sekarang agar generasi akan datang lebih seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Allah berfirman dalam Surah Al Israa ayat 36, "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan akal, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya."
Melakukan sesuatu pekerjaan samada melalui perbuatan atau percakapan hendaklah berdasarkan ilmu, bukannya secara semberono.
Perkerjaan tanpa usul periksa akhirnya akan memberi kesan yang tidak baik kepada diri sendiri.
Contohnya seorang doktor bertauliah merawat pesakit berdasarkan ilmu yang diperolehi melalui pembelajaran di dalam kelas dan juga latihan di hospital.
Sebarang kesilapan yang dilakukan akan membawa kerugian kepada doktor tersebut, contohnya disaman atau digantung kerja.
Contoh lain yang boleh dilihat tentang perlunya pembudayaan ilmu yang benar adalah di media sosial.
Hari ini media sosial telah dijadikan sarana yang utama dalam proses mencari, menerima dan berbahagi ilmu. Tidak kira ianya benar atau salah.
Orang lebih suka menerima dan mengirim semula berita-berita yang diterimanya tanpa usul periksa kesahihannya.
Saya pernah menegur di dalam kumpulan 'Whatsapp' keluarga agar memastikan kesahihan cerita sebelum dikirimkan kepada kumpulan.
Bukan kebenaran yang penting tetapi lebih kepada rasa ingin berkongsi dengan orang lain. Biarlah dia menjadi orang yang mula-mula berkongsi berita tersebut.
Walaupun niat itu baik, tetapi kebaikan yang lebih baik adalah tidak mengirimkannya semula kepada orang lain jika tidak pasti kebenarannya.
Pada waktu PRU14 yang lepas, budaya menghentam, mengutuk, menghina dan mencerca antara pihak telah menjadi satu trend yang membimbangkan.
Wujudnya "Keyboard Warrior" yang menulis di media berdasarkan kepentingan sesuatu pihak tanpa memikirkan kebenaran berita telah memberi kesan yang tidak baik.
Kebencian dan kemarahan telah dibangkitkan apabila ianya menyentuh isu-isu sensitif seperti agama, bangsa, hak istimewa dan kedaulatan negara.
Pekerjaan seperti ini hendaklah dihentikan sebelum terlambat.
Marilah kita mulakan dari diri sendiri untuk mencari, menerima dan berbahagi ilmu yang baik dan benar-benar sahaja mulai sekarang.
Ilmu yang benar pastinya dari sumber yang benar dan diyakini. Ilmu yang benar dan baik akan menghasilkan sebuah komuniti yang beriman, harmonis dan seimbang.
Dunia akan sejahtera kerana semua manusia berkasih sayang sesama mereka dan juga dengan penciptaNya.
Tiada lagi kebencian yang wujud dalam kehidupan sosial manusia.
Comments
Post a Comment