DIMANAKAH KIBLAT KITA?

Hari ini semua orang sibuk suruh periksa arah kiblat. Sejak awal pagi ramai yang berkongsi tentang arah kiblat yang sebenarnya mengikut kedudukan matahari di atas kaabah yang akan berlaku pada hari ini 16 Julai 2019, jam 5.27 petang tadi.

Mari semak arah kiblat kita, mana tau ada yang sudah terpesong atau sudah berpindah tempat.

Makna kiblat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  : Arah atau hala yang menghadap Kaabah di Mekah; arah yg dihadapi oleh orang-orang Islam ketika bersembahyang.

Secara mudah, kiblat itu adalah arah tempat orang-orang Islam menghadap sewaktu sembahyang. Hari ini arahnya di Mekah. Jika dilihat secara kritis, kiblat atau hala boleh juga bukan hanya ke kaabah.

Manusia berkiblatkan kepada kuasa. Segala usaha, tenaga dan hartanya diarahkan kepada bagaimana mahu berkuasa dan mengekalkan kuasa. Begitu juga berkiblat kepada wang ringgit dan sebagainya. Arah atau hala adalah umum, cuma orang Islam lebih memahaminya arah ke kaabah.

Dalam Al Quran Allah ada berfirman berkenaan pemindahan kiblat ini.

"Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia". (Al Baqarah :143).

Cuba perhati dan fahami ayat di atas satu persatu. Kupas satu persatu, perhatikan dengan tenang, lihat sejarah yang berlaku dan dikaitkan dengan hari ini.

1. "Dan demikian Kami telah menjadikan kamu ,umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas kamu..."

Ayat ini telah diturunkan kepada Rasul Muhammad dan pengikutnya atau umatnya yang Allah nyatakan sebagai umat yang adil. Meletakkan yang haq kepada tempatnya. Menyeru kepada yang benar dan meninggalkan kemungkaran.

Kenapa pengikut atau umat Rasul Muhammad disebut sebagai umat yang adil dan terpilih diantara umat manusia lain pada zamannya?.

Rasul Muhammad dan umatnya telah dipilih oleh Allah untuk mengajak manusia hanya mengabdi kepadaNya bukan kepada Tuhan-Tuhan yang lain. Menyeru manusia untuk tidak mensyirikkan Allah.

Sedangkan waktu itu di Kota Mekah, kebanyakkan penduduknya menyembah atau mengabdi kepada pelbagai berhala. Ada mcam-macam hala. Ada yang menjadikan politik dan bisnes sebagai pengabdiannya. Ada juga yang menjadikan harta dan wanita sebagai tujuan hidupnya.

Jadi, dengan kedatangan Rasul Muhammad di Kota Mekah telah mengubah keadaan 'Kiblat' penduduk Mekah waktu itu, dari pelbagai hala kepada hanya mengabdi Allah, Tuhan yang Maha Esa.

Dengan kata lain, Rasul Muhammad dan umatnya telah dipilih untuk membawa VISI dan MISI Allah seperti yang telah dilakukan oleh Rasul Nuh, Rasul Ibrahim, Rasul Musa dan Rasul Isa pada zaman masing-masing.

"Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik benci" (Ash-Shaff :9)

Inilah MISI para Rasul Allah, bersamanya ada kitab sebagai petunjuk serta panduan dan agama (Deen) yang benar untuk dimenangkan walaupun akan mendapat tentangan dari bangsanya sendiri.

Jika dibandingkan zaman Jahiliah di Mekah dengan zaman sekarang, sama keadaannya atau semakin parah?. Hari ini, manusia masih lagi mengabdi kepada politik, masih lagi bekerja 24 jam sehari, masih lagi menghambakan diri kepada tuan-tuan dan masih lagi bertelagah memikirkan harta.

Pada waktu agama (Deen) Allah yang benar itu telah musnah, maka Allah utuskan seorang manusia pilihanNya bagi membawa kembali manusia kepada Jalan Kebenaran.

Dalam ayat di atas (Al-Baqarah :143) dikatakan AGAR kamu menjadi saksi atas manusia dan AGAR Rasul menjadi saksi atas kamu. Apakah penjelasan tentang ayat ini?.

AGAR, membawa maksud supaya, semoga. Sesuatu yang belum pasti terjadi kecuali telah betul-betul melakukan apa yang diperintahkan atau disuruh.

Contoh seorang ibu mendoakan anaknya agar berjaya di dalam pelajaran. Untuk berjaya perlu ada usaha yang gigih bukan bermalas-malasan tetapi mengharapkan dapat 9A.

Sebagai sebuah umat yang adil dan terpilih untuk melaksanakan VISI dan MISI Allah, mestilah menunjukkan keyakinan dan membuktikan kesungguhan mereka.

Saksi adalah orang yang mengetahui dan melihat sesuatu peristiwa itu. Contohnya jika seseorang menyaksikan kemalangan bermakna dia ada di lokasi kemalangan tersebut. Dia melihat apa yang berlaku dari mula sampai akhir.

Begitulah kisahnya Rasul Muhammad telah menjadi saksi atas umatnya yang tunduk patuh pada ajaran yang dibawa, sehingga berjaya menjadikan Madinah sebagai bukti kemenangan dan menawan semula Kota Mekah sebelum kewafatan Baginda.

Selepas kewafatan, umat Rasul Muhammad dikatakan telah menjadi saksi keatas seluruh manusia kerana meneruskan ajaran-ajaran Baginda hingga menguasai dua pertiga dunia.

Begitu juga yang telah berlaku pada Rasul Ibrahim bersama umatnya yang telah berjaya membuka kota Mekah. Umat Rasul Musa berjaya menawan Kota Yerusalem dan Rasul Isa menawan Baitulmaqdis (Kingdom Of Heaven).

Proses silih berganti Rasul-rasul dan umat pilihan Allah akan terus berlaku seperti bergantinya malam dan siang. VISI dan MISI Allah tidak berubah tetapi yang silih berganti adalah siapa yang membawanya, bila waktunya dan dimana.

Persoalannya adakah selepas Rasul Muhammad akan ada pengganti yang akan memenangkan VISI DAN MISI Allah di muka bumi?.

Secara logiknya pasti ada kan. Rasul Muhammad telah wafat dan Baginda telah menyempurnakan VISI dan MISI yang telah diamanahkan kepada Baginda.

Kekuasaan kerajaan Islam telah hilang secara rasminya sejak kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah pada 1924. Sudah hampir 95 tahun agama (Deen), iaitu sistem yang benar telah berada dalam kejatuhan atau kegelapan.

Selepas malam pastinya siang, selepas kegelapan pastinya akan ada cahaya yang menerangi. Adakah kejadian malam berlaku sepanjang waktu tanpa adanya siang. Adakah manusia akan tidur sepanjang masa tanpa adanya waktu untuk penghidupan?.

Perhati ayat seterusnya,

2. "..Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu melainkan agar Kami mengetahui siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot.."

Arah kiblat, arah tempat menghadap atau arah pengabdian hanya ditentukan oleh Allah.

Setiap Rasul Allah ada tempat dimana pengabdian dilakukan bersama umatnya. Ada tempat yang dijanjikan oleh Allah sebagai pembuktian bermulanya kemenangan dan terbentuknya sebuah sistem yang fitrah.

Contohnya Rasul Ibrahim di Mekah, Rasul Musa di Yerusalem, Rasul Isa di Baitulmaqdis dan Rasul Muhammad di Madinah.

Di tanah inilah yang dijanjikan oleh Allah sebagai bukti kemenangan atas perjuangan dan pengorbanan setiap Rasul bersama umatnya yang tunduk patuh dalam menegakkan VISI dan MISI-Nya

Setiap Rasul Allah tentunya membawa ajaran yang sama sebab dari satu sumber yang sama iaitu dari Allah SWT.

Allah SWT mengutuskan setiap Rasul mengikut zaman bertujuan memenangkan agama (deen). Selepas Deen Allah itu hancur, pasti Allah utus seorang manusia pilihanNya untuk menegakkan semula DeenNya.

Jadi apabila Rasul Muhammad datang membawa ajaran yang benar (haq), adakah umat manusia akan mengikut ajarannya sebagaimana umat Rasul-rasul terdahulu.

Contohnya di Mekah, sebelum Muhammad mendapat wahyu, tentunya telah ada kitab petunjuk dan agama waktu itu. Kitab yang digunakan adalah peninggalan Rasul Musa dan rasul Isa, iaitu Kitab Taurat dan Injil . Sudah pasti juga ada agama (deen) Allah yang diajarkan. Akan tetapi bagaimanakah kehidupan sosio budaya masyarakat Mekah waktu itu?

Mencuri, membunuh, menyembah berhala dan mengundi nasib adalah contoh amalan-amalan yang tidak diajarkan oleh Rasul-rasul Allah terdahulu.

Oleh itu Allah tidak menetapkan beriman kepada seorang Rasul Allah sahaja. Allah tidak mahu orang beriman membeza-bezakan Rasul. Contohnya jika sekarang ada yang mengatakan dia adalah umat Rasul Muhammad dan tidak boleh menerima jika ada nanti kedatangan Rasul Allah yang lain.

Ayat di bawah ini jelas dan menjadi itipati kepada Rukun Iman.

"Rasul telah beriman kepada Al Qur'an yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat". (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali".(Al-Baqarah:285)

Pada zaman Rasul Muhammad hadir di Mekah, masyarakat yang beriman dengan ajaran Rasul Musa dan rasul Isa, juga harus beriman kepada Baginda. Tidak boleh dibeza-bezakan atau dibanding-bandingkan.

Begitu juga hari ini, jika Allah telah menurunkan manusia pilihanNya sebagai penunjuk kepada Jalan Kebenaran, bagi manusia yang masih lagi beriman kepada Rasul Muhammad, juga harus beriman kepadanya. Tidak boleh mengatakan apa yang dibawa itu salah atau sesat. Tidak boleh mengatakan yang Dia bukan Rasul Allah.

Cuba lihat sejarah awal dakwah Rasul Muhammad di Mekah. Baginda juga dikatakan sesat, gila hingga mahu dibunuhnya. Tetapi Baginda meneruskan dakwahnya hingga berjaya. 

Waktu bila orang Mekah mengakui yang Rasul Muhammad itu benar, tidak sesat dan tidak gila?. Waktu pembukaan Kota Mekah, berbondong-bondong orang berjanji setia dan beriman kepada Allah serta mengakui Rasul Muhammad itu adalah Utusan Allah.

Agaknya, peristiwa seperti ini akan berulang kembali?.

Berdasarkan ayat di bawah, Allah menegaskan yang sunnatullah tidak akan berubah. Bermakna, peristiwa di zaman Mekah akan berulang kembali iaitu silih berganti, sama dengan peristiwa Rasul Allah terdahulu.

"Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu" (Al Fath :23).

Bila dan dimana hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Akhir sekali, mari kita lihat penjelasan ayat di bawah, dari Surah al Baqarah, ayat 143.

3. "..Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia"

Jelas Allah menegaskan yang perpindahan kiblat (arah pengabdian) amat berat, amat sukar untuk diterima kecuali orang-orang yang telah diberi petunjuk. Orang yang telah diberi keilmuan.

Siapakah yang memberi petunjuk?. Siapakah yang memberi keilmuan itu?. Adakah Allah berbicara langsung kepada kita semasa memberikan petunjuk?.

Sudah pasti tidak. Pastinya Allah melalui utusanNya, iaitu manusia pilihan yang telah diberikan ilmu atau wahyu, kemudian menyampaikannya kepada kita. Jadi terpulanglah kepada kita untuk menerima atau tidak.

Akan tetapi sebelum menolak, gunakanlah sarana yang diberikan oleh Allah untuk membuat keputusan. Gunakan sarana pendengaran, dengarkan ayat-ayat Allah yang dibacakan. Dengar dulu apa yang nak disampaikan, jangan terus membantah atau mempersoalkannya.

Selepas itu fungsikan sarana penglihatan. Selepas dibacakan tentang ayat-ayat di atas, lihatlah sejarah para Rasul Allah. Adakah sejarah itu direka-reka sekadar untuk melihat indahnya pengorbanan dan perjalanan Rasul Allah itu.

Setiap perjalanan dan pengorbanan para Rasul hendaklah dijadikan pedoman, panduan dan petunjuk.

Semua informasi keilmuan tadi diproses, dicerna, dihadam dengan menggunakan sarana akal pemikiran waras supaya dapat memberikan isyarat yang benar kepada kefahaman dan tindakan selanjutnya.

Kasih sayangnya Allah kepada manusia, diciptakannya lengkap supaya boleh berfungsi mengikut ketetapanNya, tiada cacat cela. Bila sudah berakal, dibaca dan diajarkan tentang Al Kitab dan As Sunnah. Agar manusia ciptaanNya tunduk patuh sebagaimana umat terdahulu yang telah diberi anugerah nikmat.

Berdasarkan penjelasan yang diberikan, adakah kerisauan dan kebimbangan arah kiblat ke Mekah itu menjadi keutamaan hingga perlu dibuat penjajaran semula?. Atau melihat arah mana pengabdian?. Adakah masih mahu berkiblatkan kepada Takhta, Harta dan Wanita atau mengubah kiblat kepada Kiblat mahunya Allah, Tuhan Semesta Alam.

Apakah dan manakah arah pengabdian atau 'kiblat' kepada Allah, adalah lebih penting berbanding untuk memperbetulkan arah setiap kali matahari berada di atas kaabah.

Marilah sama-sama kita fikirkan dan bertindak.
Gambar Sumber Google



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

BUFFET RAMADHAN DI HOTEL, GAYA BARU MASYARAKAT KOTA