JANGANLAH IRI HATI

ADUH..JANGANLAH IRI HATI

Tipikal bila menyentuh isu iri hati, hasad dengki dan dendam mesti di rujuk kepada orang Melayu. Saya pun tidak tahu kenapa.

Orang lain pun ada tetapi tidaklah sehebat orang Melayu agaknya.

Yang di iri hati adalah disebabkan perkara yang kecil dan remeh temeh.

Contohnya ada kawan kita yang dapat beratus 'like' statusnya di Instagram dan facebook sedangkan kita tak sampai 10 pun yang 'like'.

Dari perkara yang sekecil-kecil hinggalah kepada yang besar , pasti akan ada unsur-unsur iri hati dan hasad dengki.

Tahukah anda, hampir setiap hari kita di 'hidangkan' dengan berita-berita yang berunsur negatif samada di media sosial arus perdana atau yang berbayar.

Contohnya kes bunuh, kes buang bayi, kes rogol, kes rasuah kes tipu dan ada juga kes gosip para selebriti.

Memang telah menjadi tugas para wartawan memberikan berita-berita terkini dan sensasi di media yang mereka wakili atas alasan apa sekali pun.

Jadi jangan salahkan wartawan yea sebab itulah tugas hakiki mereka.

Pernah dulu semasa saya menghadiri satu kursus motivasi, penceramah ada menyebut; "negative in, negative out", 'rubbish in, rubbish out" dan "shit in, shit out".

Semasa kursus tersebut saya terfikir ada betulnya apa yang disampaikan oleh penceramah tersebut.

Jika kita masukkan yang negatif-negatif ke dalam otak kita, maka negatiflah yang keluar nanti.

Ibarat makanan yang kita makan. Makanan yang baik akan menghasilkan input-input yang baik ke dalam badan kita, begitulah sebaliknya.

Lihatlah hari ini, apabila kita bangun pagi kita didengarkan atau ditontonkan dengan berita-berita yang negatif. Maklumat ini akan disalurkan kepada otak kita.

Otak kita akan menerima kemasukkan titik-titik negatif sedikit demi sedikit dan lama kelamaan menjadi tompok yang besar di dalam minda kita.

Hasilnya apa yang akan keluar dari pemikiran, tutur kata dan tindakan kita pastinya nanti adalah yang kebanyakkannya berunsur negatif.

Cuba kita lihat apa yang Allah wahyukan dalam Surah Al Baqarah ayat 10.

"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksaan yang pedih, disebabkan mereka berdusta".

Allah menjelaskan jika di dalam hati manusia itu ada penyakit, maka Allah akan tambahkan lagi penyakit itu.

Jika kita mengambil contoh penyakit iri hati yang ada dalam hati kita, pasti nanti Allah tambahkan lagi penyakit iri hati tersebut.

Dari sedikit menjadi banyak. Dari satu perkara kita iri hati hinggakan nanti dalam semua hal kita akan ada rasa iri hati, bahayakan.

Saya suka mengambil contoh di dalam dunia perniagaan hari ini yang penuh dengan cabaran dan persaingan.

Contoh yang mungkin kita boleh lihat adalah peniaga yang ada lesen dan tidak ada lesen. Peniaga di kaki lima dengan peniaga yang mempunyai premis.

Ada yang mengatakan yang berniaga tanpa lesen sumber yang diperolehi tidak halal kerana tidak mengikut syariah atau peraturan yang ditetapkan oleh penguasa tempatan.

Mungkin yang berlesen bertanggapan mereka mengeluarkan modal untuk membayar yuran-yuran yang dikenakan sedangkan yang tidak berlesen tidak mengeluarkan sesen pun.

Saya bukan sesiapa untuk menghukum orang itu salah atau benar, atau sumber yang diperolehi halal atau haram.

Apa yang saya suka nyatakan disini adalah bagaimana kita mencari jalan penyelesaian kepada masalah bukannya kepada menjatuhkan hukum kepada sesorang.

Setiap masalah dan permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya.

Seperti pesanan seorang mentor yang berjaya, berniaga adalah menyelesaikan masalah orang bukan apa yang kita suka atau apa yang kita ingin buat.

Iri hati, hasad dengki dan dendam akan menyebabkan orang tidak menyukai dan mejauhkan diri dari kita.

Tetapi jika kita dapat mencari penyelesaian kepada masalah mereka pastinya mereka akan mendekati dan menyukai kita.

Emosi dan hawa nafsu biasanya mengiringi pembentukan kepada perasaan iri hati, hasad dengki dan dendam ini.

Hanya akal pemikiran yang waras yang diisi dengan ilmu dan wahyu akan dapat mengawal dan menundukkan penyakit tersebut.

Marilah kita mengikis dan menjauhi penyakit-penyakit yang tidak baik dari dalam diri kita.

Ikhlaskanlah apa yang kita kerjakan semoga dengannya mendapat keredhan dari yang Maha Kuasa.

**Gambar sekadar hiasan


Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

BUFFET RAMADHAN DI HOTEL, GAYA BARU MASYARAKAT KOTA