TIAP YANG BERNYAWA PASTI AKAN MERASAI MATI

"Tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat dan tidak dapat pula memajukannya".(Al A'raf ayat 34)
Hari ini bangun pagi dapat pesanan di telefon bimbit yang memaklumkan seorang tetamu yang saya kenali dan pernah bawanya semasa di Eropah tahun lepas telah meninggal dunia.
"Dari Allah kamu datang dan kepada Allah kamu dikembalikan".
Masih saya ingat lagi arwah ke Eropah bersama suami dengan menggunakan kerusi roda dan beliau menaiki van yang saya pandu dari mula hingga ke akhir trip tersebut.
Ajal maut di bawah kekuasaan dan pengetahuan Allah sahaja. Kita sebagai manusia tidak tahu bila kita akan menemui ajal walaupun ianya telah ditetapkan.
Dalam Surah Ali Imran ayat 185 Allah ada berfirman yang bermaksud "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati..."
Hidup dan mati itu adalah satu ketetapan dari Allah. Yang hidup pasti mati dan yang mati akan 'dibangkitkan' kembali nanti bila sampai waktunya.
Manusia, haiwan dan tumbuhan yang hidup pasti akan merasai mati, cuma bagaimana kematian itu berbeza-beza antara satu dengan yang lain.
Sebenarnya jika diperhatikan pada ayat 34 Surah Al A'raf di atas , umat juga akan merasai ajal bukan sahaja manusia.
Bila dimaksudkan dengan 'umat', pastinya merujuk kepada sekumpulan manusia yang mempunyai doktrin kefahaman yang sama atau penganut sesuatu agama.
Contohnya umat Nabi Ibrahim, umat Nabi Musa, umat Nabi Isa dan umat Nabi Muhammad.
Bagaimana 'umat' ini terbentuk?.
Umat terbentuk melalui dakwah dan ajaran para nabi dan rasul terdahulu. Dari seorang kepada ramai lalu terbentuklah sebuah 'jemaah' yang mengikuti nabi dan rasul itu.
Sama juga dengan rakyat atau penduduk sesebuah negara. Cuma kita tidak menggelarkan rakyat atau warganegara sebagai 'jemaah' atau 'umat'.
Nabi Ibrahim dengan umatnya mempunyai tempoh waktu bangkit dan jatuh, begitu juga dengan umat nabi-nabi yang lain.
Umur sesuatu umat itu tidak akan kekal sampai bila-bila tetapi silih berganti apabila sampai kepada waktunya.
Jika Allah tetapkan 'umat' itu bangkit, maka akan bangkitlah ia dan tiada seorang pun dapat menghalangnya, dan begitulah juga sebaliknya.
Kita sebagai manusia tidak boleh melambat atau mempercepatkan proses kematian sesorang manusia dan juga umat itu.
Jadi sebagai manusia walau sekecewa manapun dengan kehidupan kita janganlah berdoa kepada Allah supaya memendekkan usia kita.
Begitu juga dengan doa meminta dari Allah supaya memanjangkan usia kita. Semuanya telah ditetapkan oleh Allah seperti yang tercatat di dalam kitab (Luh Mahfuz).
Untuk apa kita memohon dipanjangkan umur jika hanya ingin menikmati kehidupan dunia dengan lebih lama tetapi tidak diisi umur kita dengan ilmu dan ajaran-ajaran yang di bawa oleh rasul-rasul Allah.
Marilah kita sama-sama memenuhi sisa-sisa usia kita kepada sesuatu yang lebih bermanfaat kepada diri dan memenuhi kehendak Pencipta kita.
Saya juga mengingatkan diri saya supaya umur yang diberikan oleh Allah ini dapat saya gunakan kepada kerja yang lebih baik dalam mengabdi diri kepada Allah Yang Maha Esa.
**Gambar arwah, nombor 4 dari kiri yang berjaket kuning.

Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

BUFFET RAMADHAN DI HOTEL, GAYA BARU MASYARAKAT KOTA