HARI PERTAMA BERPUASA

Hari Pertama Berpuasa.

"Lama lagi nak tunggu 29 hari lagi ni" keluh anak saya di hari pertama beliau berpuasa.

Memang macam itulah situasi pada hari pertama berpuasa setiap tahun, tetapi bila sudah sampai ke penghujung bulan Ramadhan nanti pasti akan merasa keseronokkannya.

Begitulah juga saya pada mula-mula berpuasa seusia 11 tahun dulu. Hari pertama berpuasa merupakan hari yang paling berat ujiannya.

Mana taknya, dari mula bangun sahur hinggalah waktu berbuka puasa yang kurang lebih 12 jam merupakan waktu-waktu mencabar bagi diri saya.

Ingat dulu waktu ibu mengejutkan saya untuk bangun sahur jam 4.30 pagi, susah betul nak bangun mungkin waktu ini adalah yang paling lena untuk tidur.

Agaknya kalau orang datang merompak rumah pada waktu ini, habis barang isi rumah diangkutnya sebab tidur mati tak sedarkan diri.

Saya dulu lepas sahur pasti akan sambung tidur lagi sebelum bangun untuk ke sekolah, samalah juga dengan anak saya hari ini.

Tak pasti pulak elok atau tidak tidur selepas makan, tetapi mengikut nasihat doktor yang pernah saya dengar sekurang-kurangnya 4 jam selepas waktu makan baru boleh tidur.

Berpuasa memang sesuai untuk melatih diri dari pelbagai sudut, samada dari segi kesihatan fizikal juga melatih mengawal nafsu.

Masa kecil dulu ibu saya tidak terangkan pun apakah khasiat atau bagusnya berpuasa juga kenapa perlunya berpuasa.

Mungkin ibu juga tidak diberi ilmu tentang itu, yang hanya tahu kena berpuasa seperti mana ibu dan nenek beliau dulu berpuasa.

Cabaran hari pertama berpuasa memang berat dan tinggi. Saya masih ingat lagi pernah dulu ada satu hari selamba jer saya minum air pada waktu siang.

Sudah seteguk air baru saya ingat yang saya berpuasa. Sampai sekarang saya tak ceritakan pun kisah itu kepada ibu bapa, agaknya kalau diceritakan jadi bahan lawak jer.

Waktu yang paling mencabar adalah waktu tengahari sampai awal petang. Iman boleh tergugat terutamanya jika waktu panas terik.

Rasa nak batal puasa pun ada.

Bayangkan saya bersekolah rendah di felda Kemelah Segamat dan berjalan kaki balik rumah di Felcra Sekijang, jauhnya dekat 12km pergi dan balik.

Petua orang dulu-dulu bagaimana nak tahan puasa sampai ke petang, pasti ramai yang pernah buat tak kira kanak-kanak atau orang dewasa.

Balik sekolah jer mandi dan terus tidur sampai ke petang. Bangun dah dekat nak waktu berbuka, betul tak?

Sama juga saya lihat anak saya hari ini, balik sekolah mandi dan tidur. Kadang tu tidur dengan pakaian sekolah, mungkin kepenatan berpuasa.

Bagi saya berpuasa pada waktu sekarang tak sama dengan zaman kanak-kanak.

Kenapa dan makna puasa pun saya sudah dijelaskan mengikut wahyu Allah di dalam kitab Al Quran. Tidak lagi berpuasa mengikut amalan nenek moyang terdahulu.

Saya tidak menyalahkan mereka dengan amalan apa yang mereka buat terdahulu kerana itulah ilmu yang mereka dapat di waktu kondisi gelap.

Hari ini kita yang telah diberikan ilmu hendaklah sama-sama membimbing generasi kita agar memahami makna sebenar berpuasa di bulan Ramadhan.

**Kad Pengenalan waktu usia 12 tahun.

Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

DIMANAKAH KIBLAT KITA?

WORLD #QURANHOUR DAN SOLUSI KEPADA CABARAN MASA KINI