KONSEP PUASA DAN KESIHATAN DIRI


Setelah beberapa hari berpuasa, ramai diantara kita yang mungkin mengalami ‘dehidrasi’ atau mengalami masalah sembelit semasa membuang air. Ini belum lagi cerita yang ada ‘gastrik’ dan pelbagai masalah pengkhadaman yang lain.

Penulis berpendapat ada sesuatu yang sepatutnya kita belajar dari konsep berpuasa sebulan dibulan Ramadan supaya dapat menjadikan kita lebih sihat selepas Ramadan dengan memahami fungsi tubuh badan kita sendiri. Dengan itu kita dapat mengejar keberkatan yang telah dijanjikan di dalam bulan yang mulia ini penuh bertenaga dan berkeyakinan tinggi.

Mari kita lihat konsep pemakanan yang sesuai dengan tubuh kita dan kemudian kita adapatasikan dengan konsep berpuasa untuk menjaga kesihatan dan mencuci organ pengkhadaman.

Makanan yang masuk dalam badan kita adalah untuk memberikan nutrisi kepada sel- sel organ badan kita. Jadi, kita perlu lihat bentuk nutrisi yang badan kita perlukan. Adakah pemakanan kita mempunyai nutirisi yang lengkap dan bukan sekadar makan untuk mengenyangkan perut semata- mata?

Seorang manusia yang sihat memerlukan sekurang- kurangnya dua liter air sehari, protein, karbohidrat, minerals, serat sayur –sayuran dan buah- buahan. 

Dalam satu pinggan, bahagikan kepada empat bahagian. Protein mengambil suku bahagian dari pinggan dan karbohidrat suku bahagian, sayur- sayuran suku bahagian dan buah- buahan suku terakir. 

Inilah makan yang lengkap dipanggil makanan yang seimbang.

Cuba lihat apa yang kita ambil setiap petang di waktu berbuka. Adakah nutrisi ini termasuk dalam pilihan anda seharian? Atau adakah semuanya bersifat manisan- manisan dan goreng- goreng berminyak yang bakal menyekat saluran darah anda dengan gula yang tinggi dan kolestrol?

Beringatlah, badan kita memerlukan nutrisi untuk membina semula sel- sel yang rosak atau mati. Dari mana ia akan mendapat bekalan nutirisi ini semua melainkan dari apa yang kita masukkan dalam badan kita setiap hari?

Kemudian, kita lihat pula waktu makan yang baik untuk proses pengkhadaman yang baik dalam badan kita. Pengkhadaman yang sempurna perlu bagi menukar makanan kepada tenaga yang kemudiannya boleh digunakan oleh badan kita.

Pengkhadaman ada empat peringkat- pencernaan, penyerapan, pemulihan dan pembuangan. Pengkhadaman badan bermula dari pencernaan makanan yang masuk ke dalam perut kita. Jika kita makan sayuran atau buah- buahan proses pencernaan makanan itu hanya dalam setengah jam hingga sejam sahaja.

Jika kita mengambil makanan berat, contohnya daging atau ayam, kita memerlukan sekurang- kurangnya empat jam untuk process pencernaan makanan itu sehingga ia benar- benar khadam di dalam perut kita sebelum ia diserap ke dalam dinding usus kita untuk dialirkan ke seluruh tubuh badan kita melalui salur darah kita. Dari sinilah sel- sel kita mendapat nutirisi dari apa yang kita makan sebentar tadi.

Jadi, jangan tidur selepas makan, kerana ia akan mebantutkan proses pengkhadaman itu! Waktu yang terbaik untuk makan ialah empat jam sebelum kita tidur di waktu malam. Sukar? Mungkin ada yang terperanjat kerana kita semua biasa makan sehingga ke lewat malam terutamanya di bulan puasa ini. 

Kononnya ingin sahur awal dan malas untuk bangun sebelum waktu imsak. Itulah sebenarnya kesilapan kebanyakan kita. Sebab itu puasa kita ini leih banyak mengundang penyakit dari memulihkan kesihatan kita.

Waktu sahur yang baik adalah yang paling lambat sebab itulah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadisnya menyarankan agar mempercepatkan berbuka dan memperlambatkan bersahur. Hebat bukan? 

Jika kita mengamalkan jadual pemakanan yang baik tentulah puasa kita bukan sahaja menjemput pengampunan Allah, namun ia juga dapat membersihkan organ pengkhadaman tubuh yang akan lebih sihat pada bulan puasa ini.

Satu lagi aspek yang perlu kita lihat adalah tentang tahap keasidan badan melalui pemakan kita. Badan yang berasid akan lebih cenderung untuk menghadirkan penyakit berbanding tubuh yang lebih beralkali.

Lihatlah apa yang kita makan itu berbentuk organik atau yang sudah diproses. Elakkan terlalu banyak garam, ia menyerap semua air dalam badan. Ini boleh mendehidrasikan and meningkatkan keasidan badan. Gula, susu, daging juga berpotensi meningkatkan keasidan badan dari proses pencernaan yang akan menghasilkan asid. Badan akan berasa panas jika terlalu berasid.

Makanan yang berlalkali seperti buah- buahan, walaupun limau jika diambil secara natural tanpa gula akan menjadi alkali sebaik sahaja ia masuk ke dalam perut kita. Ini adalah salah suatu keajaiban alam semulajadi ciptaan Allah yang mencipta semuanya dengan sebaik- baiknya untuk kita.

Jika ingin makan daging atau ayam, sebaiknya ambillah dalam bentuk ‘broth’ atau sup yang telah direneh lama. Ia akan bertukar kepada protein tanpa perlu proses pencernaan yang panjang.

Ada banyak lagi tips kesihatan untuk dikongsikan bagi menjalani puasa dengan lebih sihat dan lebih bertenaga.

Bagi mendapat tenaga tambahan, minumlah air kelapa kerana ia mempunyai elektrolit untuk melancarkan perjalanan darah kita. 

Yang paling mudah adalah kurma, tapi rendamkan ia semalaman. Ia akan ‘germinate’ atau menapai, ini akan mengaktifkan eletrolit di dalamnya supaya kita lebih bertenaga sepanjang hari dengan meminumnya.

Moga dengan sedikit perkongsian ini dapat memberikan anda semua pengalaman bepuasa yang baru dengan lebih memahami peranan organ pengkhadaman dalam tubuh supaya kita tidak termasuk dalam golongan orang- orang yang menzalimi diri sendiri. Kuncinya, iaitu makanan yang seimbang dan lihat kealkalian badan.

Selamat berpuasa, selamat menjalankan ibadah sunat terawikh dan moga ditambah dengan tahajjud malam di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Artikel disedia dan disumbangkan oleh Raden Zael Ersady, 11 May 2019. Kuala Lumpur.

Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

DIMANAKAH KIBLAT KITA?

WORLD #QURANHOUR DAN SOLUSI KEPADA CABARAN MASA KINI