KONSEP SYAITAN 'DIIKAT', SUATU KEFAHAMAN ATAU REALITI

Ingat lagi semasa di sekolah ustazah ada mengatakan pada bulan Ramadan ini semua syaitan akan 'diikat' dari mengganggu anak cucu Adam.

Saya tidak faham apa yang dimaksudkan kerana di waktu itu hanya membayangkan syaitan seperti seekor makhluk bertanduk dua dengan muka yang bengis dan mata yang merah menyala.

Adalah tidak jelas dari mana kefahaman itu diperolehi kerana tidak ada penjelasan yang diberikan. Tetapi waktu itu saya hanya menerima kefahaman tersebut mungkin kerana belum 'baligh' atau belum berakal.

Hari ini jika konsep ini dimomokkan kepada saya sudah tentu akan ada pertanyaan lanjut tentangnya. Soalan apa maksud syaitan, siapakah syaitan itu dan bagaimana rupanya pasti akan ditanya.

Pertanyaan dilontar bagi mendapatkan jawapan yang konkrit dan boleh diterima akal yang waras. Jawapan berdasarkan Nas Quran dengan memberikan contoh akan menguatkan lagi kefahaman tentang konsep ini.

Dalam Al Quran banyak ayat yang membicarakan tentang syaitan, iaitu tentang sikap dan sifat-sifat buruknya.

Syaitan yang difahamkan kepada kita dulu adalah makhluk yang kerjanya menggalakkan manusia membuat perkara-perkara kejahatan seperti mencuri, minum arak, membunuh, berdusta dan sebagainya.

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".(Al Baqarah :30)

Ayat di atas merupakan dialog antara Allah dengan para Malaikat yang mempertikaikan keputusan Tuhan sewaktu ingin menjadikan seorang Khalifah (penguasa) di muka bumi. 

Malaikat adalah makhluk yang diciptakan hanya bertasbih, memuji dan mensucikan Allah sahaja. Dengan kata lain sebenarnya Malaikat adalah makhluk yang tunduk patuh kepada segala perintah Allah.

Kenapa agaknya Malaikat mempertikaikan perancangan Allah?. 

Malaikat mempersoalkan kenapa ingin menjadikan manusia sebagai penguasa bumi yang nanti kerjanya melakukan kerosakan dan menumpahkan darah. 

Bagaimana para Malaikat tahu yang manusia itu akan melakukan kerosakan jika tidak ada penguasa-penguasa sebelum Adam sebagai contoh. 

Pastinya sebelum Adam telah ada umat manusia yang diangkat oleh Allah sebagai Khalifah berfungsi sebagai pentadbir bumi dengan tunduk kepada hukum-hukum yang telah ditetapkan.

Bagi menjelaskan siapa itu Syaitan, lihat firman Allah di bawah;

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir" (Al Baqarah :34)

Syaitan adalah Malaikat yang ingkar apabila diminta untuk taat kepada Adam sebagai penguasa. Malaikat yang sifatnya senantiasa tunduk patuh dengan bertasbih, memuji dan mensucikan Allah tiba-tiba berubah sifat.

Jadi berdasarkan ayat ini, syaitan atau iblis asalnya dari Malaikat bukan dari makhluk lain. Iblis adalah sifat-sifat buruk yang ada dalam diri Malaikat itu.

Contoh jika menggelarkan seseorang yang berperangai sangat jahat, kita gunakan ayat "perangai macam iblis". Iblis itu menggambarkan satu karakter yang sangat jahat dan zalim.

Kadang-kadang terfikir kenapa seorang Malaikat yang senantiasa tunduk patuh tiba-tiba berubah sikap. Adakah kerana kedudukan Malaikat lebih tinggi dari manusia menyebabkannya sombong, bongkak dan angkuh?.

Atau Malaikat berpendapat yang dirinya lebih layak sebagai penguasa berbanding manusia, hingga ia berjanji akan merosakkan anak cucu Adam sampai kiamat?.

Berbalik kepada konsep syaitan 'diikat' di bulan Ramadan ini. Kebiasaan persoalan berkisar apa dan kenapa diikat?

Apakah yang sebenarnya 'diikat'?. Adakah fizikal syaitan atau iblis itu yang diikat atau simbolik kepada sifat-sifat buruk tersebut?.

Sifat-sifat mazmumah di atas wujud disebabkan Malaikat itu tunduk kepada Nafs dirinya dan tidak lagi patuh kepada perintah sang penciptaNya. 

Apabila nafsu sudah mengawal dan mengatasi akal fikiran maka segala tindakannya tidak lagi mengikut wahyu, ruhul qudus Allah.

Jadi yang 'diikat' pada bulan Ramadan ini adalah nafsu. Nafsu yang cenderung melakukan pembaziran, kikir, menunjuk-nunjuk, riak dan apa sahaja yang mengikut kemahuan dirinya.

Sifat-sifat inilah yang hendak dikawal dan 'diikat' pada bulan Ramadan. Sebab itu kita diperintahkan berpuasa bagi mengawal sifat-sifat ini. 

Menahan diri dari melakukan maksiat, pembaziran dan apa sahaja yang dilarang oleh Allah.

Sikap dan sifat ini janganlah hanya 'diikat' pada bulan Ramadan dan dileraikan selepas itu, tetapi hendaklah diteruskan sepanjang tahun.

Hari ini, bagi yang telah diberikan keilmuan pastinya dapat membezakan antara suatu kefahaman dan realiti. 

Apa yang penting adalah bagaimana kefahaman tersebut dilihat dari 'kacamata' Allah bukannya dari kefahaman nenek moyang.

**Gambar ihsan Google



Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

DIMANAKAH KIBLAT KITA?

WORLD #QURANHOUR DAN SOLUSI KEPADA CABARAN MASA KINI