PEKERJAAN PERTAMA SAYA
PEKERJAAN PERTAMA SAYA
"Selamat Pagi Cikgu" Laung ketua kelas sambil diikuti pelajar yang lain semasa saya masuk tingkatan 3A untuk mengajar mata pelajaran Geografi.
Itulah kelas pertama saya masuk selepas melaporkan diri untuk mengajar di Sekolah Menengah Chaah, Segamat Johor pada bulan Ogos 1990.
Selepas tamat pengajian di Universiti Malaya dalam Fakulti Sastera dan Sains Sosial saya meneruskan pengkhususan di Fakulti Pendidikan untuk subjek Geografi dan Pendidikan Islam.
Keluarga saya terutamanya ibu sangat menggalakkan saya menjadi seorang guru, katanya kerja guru terjamin dan ada pencen.
Itulah pandangan masyarakat pada profesion perguruan waktu itu.
Kerjaya guru dipandang tinggi hingga menjadi pilihan utama pelajar semasa membuat pilihan mata pelajaran yang akan diambil.
Ada juga yang menjadikan guru sebagai pilihan untuk calon menantu.
Selain itu terdapat permintaan yang tinggi bagi mengisi kekosongan terutamanya di kawasan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak.
Penempatan pertama saya adalah di Negeri Sarawak tetapi saya telah membuat rayuan untuk mengajar di sekolah negeri-negeri di Semenajung khususnya di negeri kelahiran saya, Johor.
Alasannya kerana jika dihantar mengajar ke Sabah dan Sarawak tidak boleh memohon pertukaran sekurang-kurangnya untuk selama 5 tahun.
Alhamdullilah, permohonan rayuan berjaya dan saya telah ditawarkan untuk mengajar di SMK Chaah Segamat.
Di dalam surat tawaran yang saya terima tercatat DG24 dengan tangga gaji permulaan sebanyak RM2400 sebulan (jika saya tidak silap).
Memang seronok mengajar di kawasan luar bandar kerana jarak rumah ke sekolah hanya 2 kilometer jadi tidak perlu bangun awal untuk menghadapi kesesakan jalan raya.
Tambahan pula pada waktu itu guru-guru tidak dibebani dengan pelbagai tugas pentadbiran, hanya menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Semasa di sekolah ini guru lelaki tidaklah ramai jadi selain Geografi saya juga ditugaskan mengajar Pendidikan Jasmani dan Sukan.
Di sinilah bermulanya saya menjadi seorang jurulatih olahraga sekolah.
Walaupun saya tidak mempunyai kelulusan atau pengkhususan dalam bidang sukan tetapi atas dasar tanggungjawab mendidik anak bangsa, saya terima dengan besar hati.
Waktu itu saya baru berusia 24 tahun dan belum berkahwin mungkin sebab itu En Rohani, Pengetua Sekolah memilih saya melatih pelajar yang berpotensi dalam olahraga.
Selama 3 tahun berkhidmat di SMK Chaah, saya telah membawa pelajar ke Pertandingan Olahraga peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dan MSSJ.
Saya masih ingat antara salah seorang pelari pecut peringkat Negeri Johor, iaitu Hamberi Mahat berasal dari Segamat yang pernah dilatih oleh tim jurulatih daerah.
Mengajar di daerah luar bandar banyak kenangan dan perkara-perkara yang mungkin sukar untuk ditemui di bandar.
Antara guru-guru, kami sangat rapat sebab selain selalu berjumpa di sekolah kami juga tinggal di kawasan perumahan yang sama.
Kawasan perumahan yang kebanyakkan guru sewa atau beli adalah berdekatan dengan sekolah.
Rumah yang saya sewa dulu berjiran dengan Cikgu Zaaba dan Cikgu Samad.
Sebelah petang atau ada waktu senggang kami akan berbual-bual santai.
Selain itu anak murid di kawasan ini sangat menghormati para guru walaupun mereka pernah dimarahi atau dirotan atas kesalahan yang dilakukan.
Contohnya apabila berjumpa dengan di luar samada di kedai atau pasar malam mereka akan senyum dan mengucapkan selamat serta menyapa saya.
Saya hanya dapat berkhidmat sebagai pendidik selama lebih kurang 6 tahun sebelum berhenti untuk bekerja sendiri.
Jika ada waktu saya akan menulis kenapa saya berhenti sebagai pendidik dan menceburi bidang yang bukan kepakaran saya.
Hari ini, rakan-rakan saya yang seangkatan ada yang memegang jawatan sebagai Pegawai Pendidikan, Pengetua atau pun Guru Penolong Kanan.
Itu adalah rezeki mereka masing-masing yang diberikan oleh Allah atas usaha yang telah dilakukan.
Rezeki saya adalah atas usaha yang saya lakukan. Tiada penyesalan saya berhenti sebagai seorang pendidik.
Wahai guru-guruku, teruskan perjuanganmu untuk mendidik dan membimbing anak bangsa agar menjadi manusia yang berguna satu hari nanti.
Walaupun saya hanya bekas guru tetapi juga mempunyai visi dan misi bagi membentuk generasi penerus yang akan menjadi 'rahmatan lil alamin' dengan izin Allah.
Memang hari ini profesion guru agak mencabar, selain tanggungjawab hakiki mengajar juga terlibat dengan tugas lain seperti pendataan dan komuniti.
Hari ini, walau apapun kerjaya kita buatlah dengan ikhlas supaya ilmu yang diberikan kepada orang lain itu diberkahi.
Jika kita menolong deen Allah, Allah akan menolong kita dan meneguhkan kedudukan kita.
**Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Guru dan Selamat Hari Jururawat, semuanya dalam bulan Mei.
Comments
Post a Comment