PEMBAZIRAN MAKANAN DI BULAN PUASA

Ramadan tahun ini sudah sampai di pertengahan dan peniaga bazar Ramadan sudah melihat trend pembeli mulai perlahan di minggu ketiga hingga penghujung Ramadan nanti.

Manakala bufet Ramadan di hotel serta restoran mulai rancak melakukan promosi bagi mencapai matlamat mereka. Saya juga sudah mendapat jemputan ke acara tertentu mulai jam 2 petang hinggalah kepada waktu berbuka puasa.

Di bulan puasa ini kita sering mendengar berkenaan masalah pembaziran makanan, samada berlaku di rumah, di bazar ramadan atau di hotel dan restoran yang yang menawarkan bufet untuk berbuka puasa.

Isu ini selalu terjadi kerana peniaga bermusim menjual makanan secara berlebihan dengan alasan mengaut keuntungan sementara boleh. Bagi pembeli pula, inilah waktu yang ditunggu untuk merasa pelbagai jenis makanan yang tidak dijual pada bulan lain.

Pengarah Operasi Yayasan Bantuan Makanan, Hayati Ismail dalam kenyataannya di News Straits Times pada 14 Mei 2019 yang lepas, berkata 25 hingga 35 peratus pembaziran makanan berlaku di bazar, manakala selebihnya di tempat lain.

Pembaziran boleh di definisi sebagai satu perbuatan yang berlebihan dari yang sepatutnya. Berlebihan dalam segala hal terutamanya sewaktu membeli atau menyediakan makanan untuk berbuka puasa.

Perbuatan ini boleh dikatakan mengikut hawa nafsu semata, bilamana manusia cenderung mengikut keinginan melebihi keperluannya seperti kata pepatah "Biar papa asal bergaya".

Pembaziran makanan boleh berlaku di rumah bilamana ibu atau isteri memasak secara berlebihan kerana bertanggapan jika sedikit tidak mencukupi. Ditambah pula jika anggota keluarga yang lain turut membeli di bazar kerana tertarik atau teringin kepada makanan kegemarannya.

Jika tidak memasak tetapi berbuka puasa di rumah, lazimnya ahli keluarga akan ke bazar membeli makanan. Contohnya suami berminat dengan kuih muih, isteri pula suka nasi bermacam lauk, manakala anak-anak suka roti john, murtabak dan ayam percik madu.

Bila dihidangkan di atas meja, maka ada pelbagai makanan serta minuman yang telah dibeli. Jika jumlah ahli keluarga kecil akan ada makanan yang berlebihan menjelang malam.

Makanan yang dijual di bazar jika disediakan lebih awal serta tidak terjual akan mulai rosak dan tidak sesuai untuk dimakan seawal jam 9 malam. Jadi akan berlaku pembaziran kerana makanan ini terpaksa dibuang dan tidak sesuai pun jika nak diberi kepada surau atau masjid.

Bagi makanan yang dimasak atau digoreng secara langsung di bazar, akan boleh tahan lama berbanding yang disediakan sejak jam 12 tengahari.

Apa yang saya perhatikan ada kedai yang menyediakan makanan terlalu banyak, dengan harapan semua makanan tersebut akan terjual sebelum waktu berbuka.

Hakikatnya tidak seperti yang dijangka. Lebih-lebih lagi jika cuaca hujan sepanjang petang, kurangnya pembeli akan menyebabkan pembaziran berlaku.

Sama juga yang berlaku di hotel atau restoran yang menyediakan bufet berbuka puasa. Kebarangkalian untuk berlaku pembaziran makanan adalah tinggi. Akhirnya akan menjadi sisa buangan pepejal yang dibuang di dalam tong sampah.

Perbuatan pembaziran merupakan tanda seseorang itu tidak bersyukur dengan pemberian yang diberikan oleh yang Maha Pencipta. Makanan merupakan salah satu sumber untuk manusia hidup di muka bumi ini, tetapi dibazirkan.

Ada ramai manusia di dunia ini yang kelaparan dan memerlukan makanan. Sanggup berebut-rebut atau berbunuhan kerana sebuku roti. Manakala di Malaysia makanan dibazirkan.

Makanan yang kita makan itu hanya untuk keperluan fizikal atau jasmani sahaja. Sebenarnya manusia juga memerlukan makanan untuk keperluan rohani atau jiwa.

Makanan yang sihat untuk fizikal atau jasmani adalah makanan yang seimbang bukannya yang berlebihan. Tubuh manusia tidak boleh menerima makanan yang berlebihan kerana akan menimbulkan pelbagai penyakit.

Begitu juga dengan 'makanan' untuk rohani haruslah juga seimbang. Rohani atau jiwa memerlukan  'makanan' berbentuk wahyu dari Allah.

Wahyu adalah Ruhul Qudus atau kalam Allah yang terdapat di dalam Kitab-kitabNya.Ianya menjadi pedoman, petunjuk dan ilmu bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini mengikut ketetapan Allah.

Kedua-duanya hendaklah seimbang supaya manusia tidak hanya menumpukan dan mengejar kepada kehidupan dunia semata tetapi juga memikirkan tentang kehidupan akhirat.

 Allah tidak menyukai pembaziran kerana ianya adalah amalan syaitan. Ambil dan makan yang diperlukan sahaja dan elakkan berlebihan.

*Gambar ihsan google






Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

DIMANAKAH KIBLAT KITA?

WORLD #QURANHOUR DAN SOLUSI KEPADA CABARAN MASA KINI