PENGISIAN BERKENAAN PERINTAH PUASA MENGIKUT AL QURAN

Setiap tahun, apabila sampai bulan Ramadhan umat islam diseluruh dunia akan melakukan ibadah puasa seperti mana perintah yang terkandung di dalam Rukun Islam.

Umat Islam memang menunggu-nunggu bulan Ramadhan yang mulia ini agar mereka boleh melakukan ibadah dan mengumpul pahala kerana di bulan ini banyak ganjaran yang diberikan oleh Allah.

Shalat Terawih, Tadarus Al Quran, membayar zakat fitrah, bersedekah, memberi makan anak yatim dan orang miskin serta banyak lagi perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan akan memberikan ganjaran yang setimpal kepada mereka.

Pastinya umat Islam berpuasa pada hari ini adalah atas kefahaman serta perintah Allah di dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 183.

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,"(Al Baqarah:183)

Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman kepadaNya agar berpuasa sebagaimana yang telah diperintahkan kepada orang-orang yang beriman sebelum ini.


Jika dikupas ayat ini, banyak sudut yang boleh dibicarakan, diperjelas dan dibincangkan dengan lebih terperinci supaya boleh difahami.


Bagi saya, ini adalah ayat PERINTAH. Maksudnya ada perbuatan atau pekerjaan atau dengan kata lain ialah adanya bentuk pengabdian yang diminta oleh Allah.


Sebelum melakukan pengabdian mari kita lihat ayat ini dengan lebih jelas agar nanti kerja yang dilakukan mengikut mahuNya idealogi Allah dan bukannya dari kefahaman dan kehendak manusia semata.


Ada 4 bahagian utama yang boleh diperhatikan di dalam ayat ini. 


Satu, apakah yang dimaksudkan dengan orang-orang beriman itu?. Kedua adalah tentang maksud sebenar berpuasa dan ketiga ialah siapakah orang-orang sebelum kamu?. Dan keempat makna agar kamu bertakwa.


Apakah yang dimaksudkan dengan orang-orang beriman ini?. Jawapan yang biasa kita dengar ialah orang-orang yang beriman itu adalah orang yang memeluk Agama Islam secara keseluruhannya.


Beriman dan Islam itu adalah 2 perkara yang berbeza seperti mana jika dilihat perbezaan antara Rukum Iman dan Rukun Islam.

Rukun Iman adalah mengimani perkara pokok atau prinsip-prinsip kepada dasar-dasar agama (Deen) itu. Manakala Rukun Islam adalah satu perbuatan atau pekerjaan yang dilakukan setelah percaya dan yakin kepada Rukun Iman.

Orang yang beriman itu wajib mengimani kepada prinsip-prinsip asas Deen itu dulu sebelum melakukan sesuatu pengabdian.

Mengimani hanya kepada Allah sebagai Pengatur (Rabb), Penguasa (Malik) dan yang diabdikan (Ilah) sahaja di alam semesta ini dan tidak ada tuan-tuan lain selainNya. Percaya dan mengimani para Malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, kedatangan hari qiamat( hari kebangkitan) dan kepada Qada (ketetapan/ketentuan) dan Qadar (tempoh waktu) Allah.

Jika kita belum 'terikat' dengan Allah, bagaimana kita hendak melakukan perintah-perintah Allah.

Bagaimana untuk terikat dengan Allah ialah dengan beriman kepada Al Quran dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, seperti Taurat, Zabur, Injil dan Suhuf Ibrahim.

Al Quran itu nampak dengan jelas, boleh dipegang dan dibaca. Jadi sudah pasti ayat-ayatnya jelas dan perintah serta larangan Allah juga jelas. Oleh itu jika kita wajib 'terikat' dulu dengan 'surat-surat' (Kitab) Allah ini sebelum melakukan ibadah.

Contohnya seperti kita bekerja dengan sesebuah syarikat, jika kita tidak menandatangani surat 'offer letter' bermakna kita bukan kakitangan syarikat tersebut dan tidak menjadi tanggungjawab kita untuk melakukan arahan dan aturan syarikat tersebut.

Begitu juga dengan contoh seorang lelaki dan perempuan, jika mereka tidak terikat dengan 'akad nikah', maka lelaki itu belum menjadi suami kepada wanita tersebut dan belum ada tanggungjawab yang wajib digalas.

Sebagai manusia juga, jika kita belum 'berakad' atau terikat dengan Allah, maka manusia itu belum beriman dan jika ia melakukan puasa pun dia tidak akan mendapat ganjaran dari Allah seperti mana syarikat membayar gaji kepada pekerja yang mempunyai aku janji dengannya.

Kedua, adalah maksud sebenar puasa itu. Kalau ditanya kepada anak saya jawabnya menahan diri dari lapar dan dahaga. Mungkin jawapan lain sama cuma ditambah dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Jawapan skema adalah menahan diri dari lapar dan dahaga dan dari melakukan perbuatan yang dilarang bermula waktu imsyak atau terbit fajar hingga terbenam matahari (waktu berbuka).

Kanak-kanak dengan orang dewasa pastinya ada perbezaan tentang makna dan pengisian puasa itu. Kanak-kanak jika tak tahan berpuasa sampai petang akan buat muka macam nak pengsan depan ibu bapa agar dia boleh batalkan puasa.

Adakah orang dewasa berpuasa seperti kanak-kanak?.

Bila disebut pasal berpuasa, pastinya merujuk kepada bulan Ramadhan. Kata dasar dari perkataan 'ramad' atau jika diterjemah kepada bahasa Indonesia bermakna punah atau binasa.

Kenapa dikatakan punah atau binasa?. Adakah bulan Ramadhan satu tempoh waktu yang penuh dengan 'kebinasaan' sehingga diwajibkan berpuasa kepada orang yang beriman?.

Punah atau binasa itu adalah deen (sistem) Allah di muka bumi ini. Sistem Allah yang fitrah (satu ketetapan yang tidak berubah) telah punah dari muka bumi di waktu ini. Oleh itu Allah memerintahkan orang yang percaya dan yakin dengan 'sistem' itu supaya menegakkannya kembali dengan menahan diri dari terpedaya kepada kehidupan mengikut hawa nafsu.

Ada juga orang yang memberikan maksud 'ramad' itu panas. Bulan Ramadhan adalah bulan yang panas. Apakah yang dimaksudkan panas itu?. Adakah cuacanya panas atau kondisi sekeliling yang panas?.

Cuaca panas boleh memberikan kesan kepada bumi. Tanah akan kering kontang dan merekah-merekah kerana tiadanya hujan yang turun. Tanaman akan layu dan mati serta tidak memberikan hasil kepada penanamnya.

Begitulah perumpamaan hari ini, manusia yang tidak mendapat wahyu (hujan) akan kering dengan ilmu dan tiada panduan hidup. Maka manusia akan cenderung mengikut hawa nafsu yang mengejar kehidupan materi serta melupakan apakah matlamat dirinya diciptakan.

Ketiga apakah yang dimaksudkan dengan orang-orang terdahulu seperti yang dinyatakan di dalam ayat di atas. Jika difahamai tentulah orang-orang yang sebelum kita kan. Orang yang macam mana yang dimaksudkan oleh firman Allah ini?

Tentunya Allah memberi maksud kepada orang-orang terdahulu dari kita yang telah beriman dan mengerjakan ibadah puasa. Disini kita diminta melihat kepada sejarah siapakah orang itu dan bagaimanakah mereka melakukan ibadah puasa.

"Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul (Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya".(An-Nisa :69)

Ayat 69 dari Surah An-Nisa di atas Allah menerangkan siapakah orang-orang terdahulu yang telah diberikan nikmat atas pengabdiannya yang tidak berbelah bagi kepadaNya.


Mereka adalah para rasul, nabi-nabi, para shiddiiqiin (yang membenarkan), orang-orang yang mati syahid (mereka yang mati semasa menegakkan SISTEM Allah) dan orang-orang saleh iaitu orang yang melakukan perbuatan yang baik. Mereka ini Allah katogerikan sebagai teman atau sahabat yang terbaik.


Kenapa mereka ini sahabat yang terbaik?. Kerana mereka ini mentaati segala perintah dan larangan Allah. Mereka bukan sahaja menahan diri dari terpedaya dengan kehidupan materi tetapi juga menfungsikan dirinya sebagai 'HAMBA' kepada Sang Pencipta.


Bila rasul mengajak melakukan shalat dan puasa, mereka buat. Rasul menyeru tegakkan sistem, mereka tunduk dan patuh tanpa dolak dalih. Segala perbuatan mereka mengikut apa yang diperintahkan dan mencontohi para rasul.


Keempat adalah berkenaan maksud agar kamu bertakwa. Agar itu sesuatu yang belum pasti, jika dikerjakan barulah Allah memberikan ganjaran(pahala) jika sebaliknya maka tiada apa yang akan diperolehinya.


Allah meminta orang-orang beriman mengambil contoh pola fikir dan pengorbanan orang terdahulu untuk diikuti agar dengan itu orang beriman akan dapat mengabdi (bertakwa) secara aktif iaitu 100% pengabdiannya hanya kepada Allah Yang Maha Berkuasa.


Satu lagi yang utama apabila membicarakan tentang puasa ini, kita tidak boleh mengenepikan soal tempoh waktu. Berdasarkan maksud puasa yang disebut di atas tadi dari imsyak atau terbit fajar hingga terbenamnya matahari ataupun waktu berbuka.


 "(yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui".(Al Baqarah : 184)

Jika dilihat kepada ayat 184 di dalam Surah Al Baqarah ini, sebenarnya ia bersambung dengan ayat 183 tadi.


Perintah puasa yang difahami oleh kebanyakkan orang Islam adalah hanya 1 bulan sahaja, iaitu di bulan Ramadhan bukannya sepanjang tahun. Apakah agaknya response orang Islam bila mereka diminta untuk berpuasa sepanjang tahun?.

Mungkin ada yang melaksanakan sepenuhnya dan tidak mustahil ada yang melanggar perintah itu. Cuba lihat hari ini, puasa sebulan pun ada timbul isu 'Bag plastik hitam'. Rasanya kalau berpuasa sepanjang tahun bukan kes bag plastik hitam lagi mungkin perkhidmatan menghantar makanan seperti 'Grab food' akan tumbuh seperti cendawan.

Sebenarnya berpuasa ada tempoh waktu yang ditentukan dan bukannya sepanjang tahun, jadi janganlah berasa nanti Deen Islam ini berat dan orang takut untuk mempelajari, memahami dan menegakkan Sistem Allah ini.

Dalam ayat 184 di atas, terdapat juga kelonggaran untuk menggantikan puasa atau membayar fidyah jika orang itu sakit atau uzur atau dalam musafir. Tetapi jika masih mampu dan tahu kewajipan untuk berpuasa maka itu adalah lebih baik baginya.

Jika dilihat sejarah berkenaan tempoh waktu Sistem Allah ditegakkan oleh para rasul, mengambil masa berpuluh tahun bukan sebulan dua. Contohnya Rasul Muhammad, Agama Islam itu sempurna dan diredhai oleh Allah selepas 23 tahun baginda bersam umatnya berdakwah di Mekah dan Madinah.

Sudah pasti selama 23 tahun itu Rasul Muhammad bersama umatnya menahan diri daripada keinginan dan kepentingan peribadi. Melawan keinginan nafsu dan mengutamakan Deen Allah. Maknanya Baginda dan pengikutnya telah 'berpuasa' selama tempoh itu.

Di dalam bulan yang penuh keberkatan ini Allah telah 'menurunkan' Al Quran kepada Muhammad melalui Malaikat Jibril pada 17 Ramadhan di Gua Hira. Pelbagai versi yang kita dengar tentang bagaimana peristiwa itu berlaku. Bukan kisah itu yang hendak dibicarakan di sini.

Penurunan Al Quran ini telah membawa kepada simbolik 'pengangkatan' Muhammad sebagai rasul Allah seperti mana pengangkatan rasul-rasul terdahulu. Muhammad diminta oleh Malaikat Jibril untuk membaca (Iqra) tetapi dibalas oleh Baginda dengan pertanyaan apa yang mahu dibaca.

Adakah Muhammad, seorang keturunan bangsawan, dihormati di Mekah dan seorang ahli perniagaan berjaya serta memegang jawatan penting di dalam NGO masa itu tidak tahu membaca? logik tak?

Yang tidak boleh 'dibaca' oleh Muhammad pada waktu itu tentunya kondisi orang-orang Mekah waktu itu. Pastinya orang di Mekah kebanyakkannya beragama Islam sebab terdapat Kaabah yang menjadi tempat ibadah dan 'kiblat' umat Islam hari ini.

Tetapi orang Mekah pada waktu itu mengikut hukum dan peraturan Jahiliah dan bukannya Hukum Allah. Cuba lihat ayat di bawah dimana Allah bertanya tentang hukum siapakah ayang lebih baik dari HukumNya.

"Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin"? (Al Maidah:50).

Dengan turunnya wahyu Allah, maka Baginda tahu beliau telah diperintahkan untuk berdakwah dan menyampaikan ajaran supaya menjauhi hukum Jahiliyah dan mengabdi kepada Allah sahaja.


Kondisi masyarakat Mekah waktu itu pada kacamata Allah telah punah dan binasa kerana tidak tunduk patuh kepada hukum dan idealogiNya. Keadaan sosial budaya Mekah yang 'panas' waktu itu disebabkan mereka tiada pedoman dan petunjuk kepada kehidupan yang sejahtera.


Menyembah berhala, membunuh anak-anak perempuan, berjudi, meminum arak dan mengundi nasib adalah amalan-amalan yang dilakukan oleh masyarakat Mekah waktu itu.


Muhammad sebelum diangkat menjadi rasul, pastinya telah melakukan perbuatan-perbuatan seperti yang dinyatakan tadi kerana Baginda tinggal dan mendiami Kota Mekah bersama keluarganya selama hampir 39 tahun.


Jadi dengan turunnya Al Quran di dalam bulan yang kondisinya panas dan kehidupan sosial budaya masyarakat yang punah telah menajadi satu rahmat kepada masyarakat Mekah waktu itu. Kerana dengannya (penurunan Al Quran) telah menjadi petunjuk kepada seluruh manusia hingga kini. 


Di dalam surah yang sama, ayat 185, Allah menerangkan tentang fungsi Al Quran yang boleh menjadi pedoman dan panduan kepada seluruh manusia, bukan hanya kepada orang Arab Jahiliyah waktu itu.


"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur" (Al Baqarah:185)

Setiap tahun pada 17 Ramadhan umat Islam akan menyambut ulang tahun peristiwa penurunan Al Quran ini, atau juga dikenali dengan 'Nuzul Quran'. Di Malaysia ianya dijadikan cuti umum.


Itu 1409 tahun yang lepas. Bagaimana dengan hari ini?.


Hari ini di Malaysia, jika dibandingkan dengan zaman Arab Jahiliyah dulu sama sahaja kondisinya, malah lebih punah.


Di Malaysia hampir setiap mukim ada masjid, ada Universiti Islam, ada Jabatan Kemajuan Islam dan banyak lagi entiti-entiti yang ditubuhkan atas nama Islam. Tetapi cuba lihat bagaimanakah pengamalan hidup Islam sebenar, adakah mengikut mahunya Allah atau sama sahaja dengan masyarakat Arab 1400 tahun lepas.


Mari kita perhatikan, di Malaysia masih ada lagi pusat judi terbesar di Asia Tenggara, masih ada lagi kilang arak, kes bunuh, rogol cucu, mencuri, rasuah dan macam macam lagi yang tidak mengikut hukum selain hukum Allah.


Bagi yang mempunyai akal pemikiran yang waras, fikirlah sendiri. Saya bukan sesiapa untuk menghukum anda betul atau salah. Tepuk dada tanya iman.


Diharapkan dengan datangnya bulan yang berkah ini akan menjadi satu titik tolak kepada perubahan yang lebih baik mengikut mahunya Allah dan bukan mengikut nafsu semata-mata. 


Jadikanlah Al Quran sebagai cahaya penyuluh di waktu kegelapan agar kita sama-sama dapat berada di atas Jalan Kebenaran Sejati menuju kehidupan yang damai dan Sejahtera.


**Gambar sekadar hiasan. Credit Vectorstock.com


















Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

DIMANAKAH KIBLAT KITA?

WORLD #QURANHOUR DAN SOLUSI KEPADA CABARAN MASA KINI