PERISTIWA NUZUL QURAN DAN PELAJARAN YANG BOLEH DIPEROLEHI.
Umat Islam di seluruh dunia yang mempunyai kefahaman yang sama menyambut Nuzul Quran pada tanggal 17 Ramadan setiap tahun sempena memperingati peristiwa turunnya Al Quran kepada Muhammad.
Di Malaysia setiap tahun akan ada pengisian sempena sambutan ini seperti perarakan, ceramah di masjid dan khatam Quran.
Nuzul dalam Bahasa Arab أُنْزِلَ bermaksud diturunkan permulaan Al Quran kepada Muhammad semasa baginda bertahanut (bersembunyi) di Gua Hira pada tanggal 6 Ogos 610M.
Surah yang mula-mula diturunkan adalah sebahagian Surah Al Alaq (96) seterusnya secara berperingkat hingga lengkap 114 Surah kesemuanya.
Hari ini umat Islam percaya bahawa Al Quran adalah salah satu Mukjizat besar Nabi Muhammad yang diturunkan kepada seluruh manusia. Mukjizat adalah satu perkara atau kejadian luar biasa yang merujuk kepada kelebihan seseorang rasul itu.
Peristiwa 1409 yang lepas ini telah memberikan kesan kepada masyarakat Mekah pada waktu itu.
Al Quran yang turun telah dijadikan sumber utama dalam usaha dakwah baginda selama 23 tahun sehingga tertegak kerajaan Madinah.
Penduduk Mekah dan sekitarnya telah menerima ketetapan Allah yang dibawa oleh Rasul Muhammad. Orang-orang yang beriman pada waktu itu menjadikan Al Quran sebagai kitab panduan hidup mereka.
Rasul membacakan kitab kepada mereka dan mengajarkan orang beriman bagaimana cara memfungsikan Al Quran mengikut mahunya Allah.
Ini adalah sejajar dengan firman Allah di dalam Surah Al Baqarah ayat 185.
"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur". (Al Baqarah : 185)
Ayat ini secara keseluruhannya membicarakan tentang perintah berpuasa yang bersambung dari ayat 183 dan 184 sebelumnya. Akan tetapi pada permulaan ayat ianya menekankan tujuan Al Quran itu di turunkan.
Ramai guru agama atau penceramah bebas kurang menyentuh tujuan Al Quran diturunkan semasa menyampaikan ceramah atau kuliah. Kalau ada pun hanya sekadar penjelasan ringkas tanpa kupasan yang lebih mendalam.
Mereka lebih suka menerangkan tentang sesiapa yang tidak boleh berpuasa dan apakah yang perlu dilakukan jika membatalkan puasa tersebut.
Bagi saya pula, adalah lebih baik jika dikupas satu persatu ayat di atas agar boleh melihat tentang keseluruhan ayat tersebut.
Persoalan pertama adalah kenapa permulaan Al Quran diturunkan pada Bulan Ramadan, bukan pada bulan-bulan lain seperti Syawal atau Syaaban atau Muharam.
Jadi sebelum menjawabnya harus memahami tentang Bulan Ramadan itu sendiri. Apa yang ada di bulan ini hingga Allah memilih Ramadan menjadi bulan mulia berbanding bulan yang lain.
Ramadan dalam bahasa Arab berasal dari kata dasar 'Ramad'. Jika diterjemahkan secara 'Harfiah', iaitu perkataan demi perkataan akan membawa maksud 'panas terik'.
Bulan Ramadan adalah bulan yang panas terik. Makna ini boleh dilihat dari 2 perspektif, iaitu dari sudut geografi dan sosio budaya.
Dilihat dari Geografi, Jazirah Tanah Arab, khususnya di Mekah memang mengalami cuaca panas dan terik hampir sepanjang tahun. Kota Mekah dikelilingi padang pasir atau juga dikenali sebagai gurun.
Dari perspektif sosio budaya pada waktu itu, masyarakat Arab Jahiliah terkenal dengan amalan-amalan yang menunjukkan 'kebodohan' mereka masa itu seperti minum khamar (arak), berjudi, berkorban untuk berhala dan mengundi nasib.
Atas kondisi ini Allah utuskan seorang Rasul bersama Al Quran bagi membacakan kondisi masyarakat Mekah waktu itu, mensucikan mereka dari 'najis' hasil perbuatan mereka dan mengajarkan kepada mereka untuk mengEsakan Allah.
"Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,"(Al Jumaah :2)
Ayat di atas menjelaskan bahawa sebelum kedatangan Rasul dan turunnya Al Quran, masyarakat Arab dalam kesesatan yang nyata. Memang jelas sangat tidak mengikut ajaran rasul-rasul terdahulu seperti ajaran Rasul Musa dan Rasul Isa.
Al Quran bukan diturunkan hanya untuk dibaca pada setiap malam Jumaat atau di bulan Ramadan, tetapi juga mempunyai fungsi atau tugas lain yang lebih utama.
Pertama, Al Quran menjadi petunjuk kepada seluruh manusia. Allah tidak mengkhususkan kepada orang Arab sahaja tetapi juga untuk bangsa Melayu dan lain bangsa.
Petunjuk ialah satu tanda atau satu isyarat untuk memberitahukan tentang sesuatu. Oleh itu apa sahaja ayat-ayat dalam kitab menjadi petunjuk samada tentang sesuatu perintah dan juga larangan dari Allah.
Apa yang Allah nak tunjukkan kepada manusia?. Allah nak beritahu yang kitab ini akan menunjukkan manusia kepada jalan keselamatan dan jalan kebenaran.
"Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang benar". (Al Maidah :16)
Hidup di atas muka bumi Allah ini penuh dengan cabaran dan ujian. Diuji dengan kehidupan duniawi yang indah dan melalaikan. Manusia cenderung mengejar kekayaan sementara berbanding kehidupan di akhirat.
Jadi Al Quran ini diharapkan akan menjadi petunjuk kepada jalan yang benar supaya manusia tidak sesat dan menyesatkan.
Kedua, selain dari petunjuk Allah dalam Al Quran yang kita boleh baca dan fahami maknanya, ianya juga menjadi penjelasan-penjelasan kepada petunjuk yang ada dalam kitab tersebut.
Penjelasan adalah sesuatu yang jelas yang kita boleh nampak dengan mata kepala kita. Petunjuk-petunjuk kita boleh tahu dari pembacaan dan kefahaman dalam kitab.
Manakala penjelasan-penjelasan adalah sesuatu yang kita boleh lihat dari alam. Dengan kata lain petunjuk ada dalam Quran dan penjelasan tentang petunjuk ada di muka bumi.
"Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat) nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berpikir" (Al A'araf:176)
Contohnya tentang ayat di atas, Allah membuat perumpamaan seperti anjing yang menghulurkan lidahnya. Di mana kita boleh melihat penjelasan tentang anjing tersebut,
adakah terdapat dalam Al Quran atau harus melihat di muka bumi?.
Tentunya jika mahu melihat anjing atau lain-lain binatang, kena lihat di muka bumi kerana memang Allah menempatkan semua benda hidup di sana.
Cara ketiga untuk fungsikan Al Quran adalah bagaimana ianya boleh menjadi 'pembeda' antara yang hak dan batil. Bagaimana Al Quran boleh membezakan antara yang benar dan yang salah.
Tentunya selepas kita baca dan fahami perintah dan larangan Allah, kemudian melihat contoh-contoh yang berlaku kepada umat-umat terdahulu. Selepas itu barulah kita menjadikan perbuatan umat terdahulu sebagai teladan.
Yang menjadi Sunnah Allah dan Sunnah Rasul kita ikuti, manakala perbuatan yang dikutuk oleh Allah kita tinggalkan. Manusia yang berilmu dengan kitab itu nanti senantiasa boleh membezakan mana yang baik dan yang jahat. Mana yang diberkati dan mana yang dikutuk.
Hari ini adakah fungsi Al Quran ini diambil secara benar dan total?. Adakah terdapat perbezaan bagaimana ianya difungsikan pada waktu ini dengan di zaman Rasul Muhammad?.
Persoalan lain yang juga sering ditanyakan adalah tentang perlaksanaan Al Quran dewasa ini dengan di zaman Rasul Muhammad. Adakah sama atau berbeza?. Jika sama mengapa kita masih belum berjaya menjadi seperti umat terdahulu.
Persoalan-persoalan ini harus dijawab secara kritis dan ilmiah supaya manusia dapat keilmuan darinya. Dengan ilmu benar yang ada pada manusia boleh membimbing mereka kepada jalan kebenaran sejati.
**Gambar ihsan Google.

Comments
Post a Comment