PERLUNYA SIKAP PEDULI TERHADAP ALAM SEKITAR

Kilang-kilang terpaksa mengurangkan operasi pengeluaran, kedai dobi ditutup, kedai mencuci kereta memberhentikan operasi, peniaga sektor makanan terjejas dan aktiviti domestik tergendala. 

Ini merupakan antara kesan yang dialami akibat tiada bekalan air bersih yang terawat. Manusia pun boleh mati jika anggota badan tidak mendapat air bersih.

Pada 19 Julai lepas lebih seribu kawasan sekitar lembah klang mengalami gangguan bekalan air akibat penutupan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3. kesan pencemaran bau di sungai tersebut.

Belum sampai seminggu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (SYABAS) terpaksa menutup semula loji tersebut disamping Loji Rawatan Air Rantau Panjang akibat pencemaran diesel pula.

Punca adalah disebabkan oleh kerja-kerja pengorekan pasir di hulu sungai.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengatakan ianya mungkin perbuatan khianat atau kecuaian pihak tertentu tanpa menyatakan pelaku dan motifnya.

Laporan polis telah dibuat oleh SYABAS agar siasatan terperinci dapat dijalankan bagi mengenal pasti siapakah dalang yang menyebabkan lebih sejuta penduduk menghadapi kesukaran.

Insiden pencemaran air di Selangor bukan kali pertama berlaku. Pada akhir tahun 2018, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup berulang kali akibat pencemaran. 

Penutupan LRA Sungai Semenyih mengakibatkan gangguan berkala air di 450 kawasan, meliputi kawasan di daerah Petaling seperti Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan beberapa daerah lain di sekitar Lembah Klang.

Sikap mementingkan diri, mengambil jalan mudah, tiada kesedaran sivik dikenal pasti sebagai punca utama kepada pencemaran.

Di kedua-dua tempat ini, sikap mementingkan diri dan mengambil jalan mudah dengan membuang bahan berasaskan minyak ke dalam parit atau sungai telah menjejaskan banyak pihak.

Kerosakan yang berlaku di bumi ini adalah hasil sifat manusia itu sendiri. Peperangan, pembunuhan, tanah runtuh, pemanasan global dan pencemaran alam adalah contoh perilaku manusia yang tidak bertamadun.

Dalam Al Quran, Allah menegaskan tentang kerosakan-kerosakan yang berlaku adalah dari tangan-tangan manusia itu sendiri.

"Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari perbuatan mereka, agar mereka kembali ." (Ar Rum:41).

Manusia lain yang membuat kerosakan, manusia lain pula yang menanggung akibatnya. Apa saja yang dilakukan oleh manusia Allah akan kembalikan kepada manusia itu.

Seperti yang berlaku hari ini. Disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sebahagian manusia menyebabkan manusia lain yang menanggung derita.

Pelbagai kempen kesedaran dilakukan oleh NGO seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Forum Air Malaysia (FAM) dan Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), bertujuan untuk masyarakat mengambil sikap.

Contohnya di kawasan Semenyih, gotong-royong pembersihan kawasan, pertandingan mengutip sampah paling banyak, program kesedaran penduduk dan ceramah kesedaran untuk pelajar sekolah telah dijalankan.

Pendapat saya, pendidikan dan kefahaman yang berterusan tentang pentingnya menjaga alam sekitar perlu dipergiatkan lagi.

Seawal anak berusia 3 ke 4 tahun, Ibu bapa boleh memainkan peranan membimbing tentang pentingnya menjaga kebersihan. Contohnya mengajar dan menggalakkan anak membuang sampah dalam tempat yang disediakan.

Diteruskan di sekolah serta universiti dengan mewujudkan mata pelajaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Berani menyatakan tidak kepada pencemaran.

Kerajaan melalui kementerian bertanggungjawab perlu mewujudkan inisiatif yang lebih berkesan. 

Kenalpasti sektor menjadi penyumbang utama masalah pencemaran. Memberikan nasihat dan alternatif kepada penyelesaian masalah pembuangan sisa industri atau domestik.

Pendidikan dan bimbingan berterusan akan mewujudkan sikap individu yang peduli. Mengambil peduli jika melihat atau mengetahui berlakunya kegiatan merosakkan alam sekitar.

'Kempen Peduli Alam Sekitar' perlu diperkenal di semua peringkat, sama seperti kempen larangan merokok di restoran.

Langkah-langkah mendidik, mencegah dan menguatkuasakan undang-undang perlu disusun dengan berkesan di dalam kempen ini.

Menghukum adalah jalan terakhir terhadap sesuatu pelanggaran undang-undang.

Oleh itu penjelasan tentang wujudnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dimulakan di peringkat sekolah menengah, kolej dan universiti.

Tekankan tentang adanya larangan dan kawalan mengenai pencemaran di dalam akta tersebut bertujuan melindungi alam sekitar.

Pada usia 18 tahun, bukan hanya sudah boleh mengundi memilih pemimpin tetapi juga ada kesedaran untuk memelihara alam sekeliling. 


*Gambar sekadar hiasan

Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

BUFFET RAMADHAN DI HOTEL, GAYA BARU MASYARAKAT KOTA