TASBIH VS PERBUATAN
ULASAN KISAH KETAM BAHAGIAN 2
Ketam & Tarian ( Part 2 )
Di bahagian kedua kisah ketam, penulis (Hassan Muhammad) membawa pembaca melihat situasi di sebuah Kampung Tuli.
Tuli digunakan bagi menggambarkan penduduk atau rakyat yang pekak atau tak mahu mendengar. Mana lojik jika 33 juta penduduk semuanya rosak pendengaran.
Di dalam kampung itu penulis juga menggambarkan penduduknya dilihat menyebut-nyebut nama ketua mereka sambil menari, bergoyang badan dan kepala.
Ketua merupakan seorang pemimpin, samada pemimpin sebuah parti politik, pemimpin agama atau pemimpin sebuah badan NGO.
Menyebut-nyebut boleh juga diertikan dengan berzikir-zikir. Bertasbih menyebut nama seseorang dengan harapan orang yang disebut-sebut itu akan dapat membantu menyelesaikan masalahnya.
Pemimpin biasanya ada pengikut dan ideologi yang dibawa. Pengikut memuja-muja dan menjadikannya sebagai idola hingga sanggup bermati-matian dalam mempertahankannya.
Apa yang dikatakan oleh pemimpin itu betul 100% , menjadi keramat walaupun hakikat sebaliknya. Sesiapa yang mempersoalkannya akan dikecam atau 'disembelih'.
Apabila penulis mengambil contoh pemimpin yang membersih dan menyucikan hati pengikutnya, biasanya merujuk kepada pemimpin agama. Seperti ustaz, imam, atau ulama'.
Sebabnya apabila orang itu digelar ustaz , imam atau ulama pastinya mereka ini tahu segala segi hukum hakam dan hal-hal yang berkaitan akidah dan ibadah.
Pengikut percaya yang pemimpin agama mereka dapat menyelamatkan dari neraka jahanam dan menunjukkan jalan yang benar. Dapat membersihkan kotoran-kotoran yang ada di dalam hati pengikutnya.
'Bagaimana penghulu ketam yang berjalan senget mahu mengajar ketam lain berjalan lurus?'
Untuk mengajar manusia tentang Jalan Kebenaran Sejati, Jalan yang lurus, Allah telah mengutuskan seorang Rasul, Sang Juru Selamat.
"Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata," (Al Jumu'ah : 2)
Rasul Allah diutus kepada kaum atau bangsa yang buta huruf. Seperti pertanyaan di atas, lojikkah jika 33 juta penduduk semuanya buta huruf?.
Apakah yang dikatakan buta huruf dalam ayat di atas?.
Buta tentang jalan yang lurus. Sebab selama ini nenek moyang telah mengajar jalan yang senget, jalan yang salah.
Apabila datang manusia pilihan Allah, mahu mengajak dan menunjukkan jalan yang lurus dikatakan gila dan sesat. Dikatakan menongkah arus majoriti.
Contoh paling dekat yang boleh diambil adalah Rasul Muhammad, diutus kepada kaum Quraisy Mekah. Membacakan kepada mereka tentang kesesatan yang sedang mereka lakukan.
Sama juga hari ini, apabila manusia pilihan Allah itu datang dan membacakan kepada kaum Bangsa Melayu tentang kesesatan yang sedang dilakukan, kebanyakkannya menolak.
Untuk kekal suci bersih pada ajaran yang dibawa oleh Rasul Allah, bukan hanya dengan bertasbih menyebut-nyebut nama, menyeru dari jauh mengharap syafaat.
Apa yang diperlukan adalah meyakini ajaran, mengerjakan apa yang disuruh dengan bersungguh-sungguh dan meninggalkan apa yang dilarang.
Di penghujung cerita ini, penulis mengajak pembaca berfikir menggunakan akal pemikiran yang waras. Selain petua bagaimana mahu membersihkan HATI.
Adakah dengan berzikir, bertasbih atau menyebut-nyebut nama dapat membersihkan hati?, itu salah tanggapan namanya.
Salah satu fungsi hati adalah membuang racun di dalam tubuh. Membersihkan tubuh dari zat-zat bahaya di dalam darah, termasuk ubat-ubatan dan makanan.
Jadi untuk membuang racun dalam tubuh dan menjadikan hati itu bersih kenalah jaga pemakanan .Tahu apa yang dimakan dan diminum. Contohnya kurangkan makanan yang berlemak, berminyak, bersantan dan bergula.
Boleh disimpulkan dalam cerita ketam bahagian 2 ini, pengucapan semata-mata di bibir tanpa tindakan tidak akan dapat mengubah sesuatu.
Berniat mahu mengubah kefahaman tanpa mencari dan mendapatkan ilmu yang betul, maka akan jadi angan-angan saja.
Bila sudah disampaikan keilmuan, buka minda untuk terima. Gunakan pancaindera, dengar, lihat sekeliling dan fikir secara kritis.
Bukannya menyuruh orang lain membuat keputusan untuk kita. Bukannya orang lain yang menentukan hala tuju perjalanan hidup kita.
Diri sendirilah yang bertanggungjawab.
Gambar sekadar hiasan |
Comments
Post a Comment