ULASAN KISAH KETAM PART 3

..Sambungan Ulasan Kisah Ketam Part 3..

Ketam & Buku ( Part 3 )


Bahagian ketiga kisah ketam, penulis mengisahkan ketam lurus terdengar penduduk ketam di Kampung Buta sedang membaca buku di dalam rumah yang usang lagi gelap-gelita.

Jika diperhatikan cerita ini, ada 3 senario yang ingin diketengahkan oleh penulis.;
1. Penduduk ketam di Kampung Buta
2. Mendiami rumah yang usang
3. Membaca buku dalam keadaan yang gelap-gelita

Keadaan yang digambarkan oleh penulis sangat tragik dan daif sekali.

Senario pertama:

Pada pandangan saya, penulis mengisahkan penduduk atau kaum yang mendiami sebuah kampung, daerah, negeri atau negara yang kebanyakannya adalah buta ilmu pengetahuan.

Jahil atau buta tentang sesuatu keilmuan, bukannya buta pada penglihatan. Mereka tidak dapat 'membaca' alam sekeliling.

Tidak dapat 'membaca' apa yang berlaku di persekitaran serta dunia global. Tidak peka alam atau tidak peduli tentang persekitaran.

Walaupun masyarakat atau penduduk bertamadun dari segi sains dan teknologi tetapi jahil dengan ilmu Tuhan Semesta Alam. 

Jahil melihat bagaimana Allah mengatur makhluk ciptaan-Nya mengikut hukum tentang sesuatu penciptaan.

Membaca tetapi tidak memahami kerana membaca dalam keadaan 'buta'.

"Dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui Al Kitab, kecuali dongengan bohong belaka dan mereka hanya menduga-duga" (Al Baqarah :78)

Apabila 'buta huruf' (bukan bermaksud tidak tahu membaca dan menulis), apa yang dibaca tidak difahami, maka yang akan dikatakan nanti hanyalah pembohongan.

Kenapa ini berlaku?, kerana mereka hanya menduga-duga faham apa yang dibaca. Sedangkan yang sebenarnya mereka  tidak mengetahui sesuatu apa pun.

Gambar Sekadar Hiasan


Senario kedua:

Lebih parah lagi penduduk yang jahil itu mendiami rumah yang usang, hampir runtuh dan tidak lagi boleh didiami sebagai tempat berteduh dan beribadah di dalamnya.

Rumah dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka diertikan sebagai 'binaan untuk tempat tinggal'.

Suatu kediaman yang dibina dengan bahan yang sesuai supaya rumah tersebut selamat didiami dan dapat bertahan dari cuaca persekitaran.

Bagaimana pula keadaan jika mendiami rumah yang usang?. Sudah pasti tidak akan selamat kerana hanya menunggu masa untuk roboh. 

Bahan binaannya mulai mereput sedikit demi sedikit. Mula terhakis dan hilang keutuhannya dek dimakan makhluk perosak.

Bagi penghuni yang berilmu pastinya mereka akan mencari rumah yang lebih kukuh dan selamat. 

Boleh juga mengambil contoh menaiki dan memilih kapal yang akan berlayar melalui lautan yang penuh dengan ombak dan cuaca tidak menentu.

Adakah akan memilih kapal sekukuh Bahtera Nabi Nuh atau bot pukat tunda yang mudah karam sewaktu dipukul ombak besar?. 

Pada pemahaman saya, rumah usang yang dimaksudkan penulis adalah sebuah negeri atau negara yang menanti untuk runtuh atau musnah.

Kemusnahan adalah disebabkan sistem batil ciptaan manusia, yang sedang digunakan akan digantikan dengan sistem benar ciptaan Tuhan, Tuan Semesta Alam.

Sistem benar yang telah berlaku dan silih berganti sejak Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad. Suatu Jalan Kebenaran yang menjadikan kehidupan damai dan sejahtera kepada semua makhluk ciptaan-Nya

"Berapa banyak kota yang Kami telah membinasakannya, yang penduduknya dalam keadaan zalim, maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi" (Al Hajj:45)

Sehebat mana rumah, kota dan istana ciptaan manusia pasti akan roboh dan dibinasakan kerana penduduknya yang zalim.Zalim terhadap kebenaran yang datang kepadanya. 

Gambar Sekadar Hiasan

Jika mengambil contoh sunnah para rasul terdahulu, berapa ramai Nabi dan Rasul yang telah dihalau, disiksa dan ada yang dibunuh hanya kerana mengajak kepada Jalan Kebenaran.

"Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang telah Kami binasakan, yang sudah bersenang-senang dalam kehidupannya; maka itulah tempat kediaman mereka yang tiada didiami (lagi) sesudah mereka, kecuali sebahagian kecil. Dan Kami adalah pewarisnya. Dan tidak adalah Tuhanmu membinasakan kota-kota, sebelum Dia mengutus di ibukota itu seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota; kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman" (Al Qasas :58-59)

Secara alami, rumah yang usang menanti untuk roboh. Tetapi sebelum itu Allah pasti akan mengutus seorang Rasul (manusia pilihan-Nya) untuk membacakan wahyu dari Kitab-Kitab-Nya.

Rasul datang kepada manusia untuk membacakan keadaan yang berlaku waktu itu. Adakah manusia masih lagi mahukan sistem berdasarkan hawa nafsu atau sistem ciptaan-Nya.

Tetapi lihatlah senario ketiga yang cuba ditonjolkan oleh penulis melalui dialog di bawah;

Ketam: wahai saudaraku ketam..kenapakah kamu semua membaca buku didalam rumah yang gelap gelita..?

Ramai Ketam: Hi ketam yang gila..kami sejak dahulu membaca didalam rumah yang gelap ini.. apakah bezanya kami membaca ditempat yang terang..sedangkan kami tidak memahaminya..lebih baik kami membaca di rumah yang gelap ini ..

Penulis melihatkan suatu kaum yang membaca buku dalam gelap-gelita, tetapi mengharapkan buku itu memberikan ilmu kepada mereka.

Sudahlah membaca di dalam gelap-gelita, bahkan tidak difahami apa yang dibacanya.

Seperti membaca buku tulisan 'alien' dalam gelap. Apa yang boleh diperolehinya?. Langsung tidak mendapat apa-apa.

Adalah lebih baik orang buta penglihatan membaca buku tulisan braille, masih boleh difahami.

Gambar Sekadar Hiasan

Buku yang dimaksudkan oleh penulis adalah sebuah kitab yang dibaca sejak turun temurun. Jika zaman sekarang, pastinya Al Quran.

Bagi kaum terdahulu mereka membaca kitab-kitab yang dibawa oleh para Rasul seperti Suhuf Ibrahim, Zabur, Taurat dan Injil.

Hari ini, jika manusia membaca Al Quran seperti senario di atas, apakah pelajaran yang boleh didapati darinya?. 

Tiada apa yang boleh didapati kerana tiada beza pun membaca di tempat terang dengan di tempat yang gelap sebab mereka 'buta huruf'

Wahyu Allah bukan hanya tertulis di dalam Kitab tetapi juga yang terdapat di Semesta Alam.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka" (Ali Imran :190-191)

Melihat alam, memahami dan mengambil pelajaran darinya boleh juga dikatakan sebagai membaca wahyu Allah. Tulisannya di kitab, tetapi penjelasannya di alam. 

Segala yang berlaku di alam terdapat tanda-tanda sebagai pelajaran bagi orang yang memikirkannya.

Hari ini ada manusia pilihan-Nya, datang mengajak manusia lain membacakan dan mengajak mengambil Kitab Allah sebagai pedoman, petunjuk dan rahmat, tetapi kebanyakannya menolak. 

Hanya sedikit yang bersyukur dan mengambilnya.

Ramai yang mengatakan apa yang cuba dibawa sebagai satu doktrin baru yang bertentangan dengan ajaran nenek moyang terdahulu.

Dalam mengajak tidak ada paksaan. Jika setelah dibacakan dan dijelaskan masih lagi mengambil langkah seperti nenek moyang terdahulu, yea...silakan.

"Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap" (Al Isra':81)

Sesuatu yang batil pasti akan musnah dan lenyap dari atas muka bumi ini dan digantikan dengan yang hak.

Mengajak yang hak memang agak mencabar dan penuh dengan pelbagai ujian. Walau bagaimanapun tanggungjawab perlu dikemban.

Gambar Sekadar Hiasan



Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

BUFFET RAMADHAN DI HOTEL, GAYA BARU MASYARAKAT KOTA