BAGAIMANA ALLAH 'MELIBAS' MANUSIA YANG MENDUSTAKAN NIKMAT-NYA


 "Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk) nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; karena itu Allah merasakan(libasa) kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat".(An Nahl:112)

Dulunya negara kita ni aman dan tenteram.  Kita bebas melakukan apa yang dikerjakan. Tiada sekatan perjalanan, tiada jarak sosial, tidak perlu memakai penutup mulut (mask).

Kini Allah merasakan (libasa - libas) kepada manusia dengan rasa kelaparan dan ketakutan.

Bagaimana keadaan kita bila mula diwar-warkan akan disekat perjalanan. Masing-masing berpusu-pusu ke pasaraya, kedai runcit, kedai serbaneka untuk membeli barang-barang makanan.

Kita takut kelaparan hingga ada yang berebut-rebut mendapatkan bekalan. Dengan sekelip mata habis makanan di rak-rak. Tak pandang belakang langsung.

Selepas arahan pergerakan dilanjutkan, kita takut ekonomi diri dan keluarga akan musnah kerana kita tidak dapat bekerja. Tidak dapat mengumpul kekayaan dengan banyak dan cepat.

Masing-masing takut keluarga akan kelaparan. Ada yang menangis sebab wang dipoket hanya tinggal beberapa ringgit sahaja.

Di Malaysia, dijangkakan lebih 1 juta orang akan kehilangan pekerjaan akibat covid-19.

Punca pencarian pendapatan keluarga terjejas kerana tidak dapat keluar untuk bekerja atau berniaga.

Bagi mereka yang kaya juga merasa ketakutan kerana kekayaan mereka semakin menyusut. Kejatuhan pasaran saham, nilai matawang merosot dan kuasa beli penduduk yang terjejas teruk.

Ini menyebabkan tiada permintaan terhadap perkhidmatan dan barang-barang di pasaran.

Makcik kiah tidak dapat menjual pisang goreng, Pak Abu tidak dapat membawa grab dan Ah kow tidak dapat membuka kedai perkhidmatan telekomunikasi.

Ini hanya sebahagian contoh yang sedang berlaku sekarang. Masih ada lagi di luar sana yang tidak disebutkan contohnya.

Agaknya kenapa semua ini berlaku?

Manusia memang mudah lupa, sombong dan zalim. Semua ini adalah disebabkan oleh perbuatan manusia juga. Jangan salahkan makhluk lain.

"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)".(Ar Rum:41)

Tangan adalah lambang kekuasaan. Dengan kuasa yang ada manusia boleh melakukan kebaikan dan dengan tangan itu juga manusia melakukan kerosakan di muka bumi.

Dengan kekuasaan yang ada pada mereka juga telah menyebabkan kesesatan dan kemusyrikan berlaku.

Mereka menggunakan kekuasaan yang ada untuk mengajak pemuka-pemuka dan pembesar-pembesar mereka mendustakan kebenaran yang datang pada mereka.

Mereka menyangka dengan menguasai ekonomi dan kekuatan akan dapat memperbudak bangsa-bangsa hingga tunduk kepada kemahuannya.

Akan tetapi Allah SWT itu Maha Berkuasa. Hanya dengan makhluk bernama Coronavirus, telah menghancurkan segala keegoan manusia yang sombong dan zalim itu.

Pendustaan-pendustaan yang dilakukan oleh manusia terhadap penyampai jalan kebenaran Tuhan menyebabkan Allah membalas mereka dengan azab yang pedih.

“Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang rasul dari mereka sendiri tetapi mereka mendustakannya; karena itu mereka dimusnahkan azab dan mereka adalah orang-orang yang zalim" (An Nahl:113).

Ingatlah bahawa di dalam kondisi yang berlaku sekarang ini ada pelajaran yang boleh diambil. Bagi mereka yang memikirkannya(ulul albab), terdapat tanda-tanda dari Allah.

Kita mempunyai pilihan samada ingin mempercayai semua ini datang dari-Nya atau sekadar putaran alam.

Jika kita percaya, marilah kita sama-sama bertaubat atas dosa yang telah dilakukan dan mencari serta mengikuti jalan kebenaran yang dibawa oleh para rasul Allah.

Sekian.

*Gambar sekadar hiasan.



Comments

Popular posts from this blog

KAD UCAPAN RAYA, DULU DAN SEKARANG

BUFFET RAMADHAN DI HOTEL, GAYA BARU MASYARAKAT KOTA